Malaysia Oversight

Sekatan masuk Sabah hak mutlak negeri

By MkiniBM in September 23, 2025 – Reading time 2 minute
Sekatan masuk Sabah hak mutlak negeri


negeri Sabah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan individu mana yang dibenarkan masuk ke negeri itu, kata Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini.

Ini susulan ahli perniagaan Albert Tei – yang sedang dibicarakan atas dakwaan merasuah dua ahli politik Sabah – berdepan sekatan untuk memasuki negeri itu bagi menghadiri perbicaraan.

“Untuk makluman, Sabah ada kuasa mutlak untuk memastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak,” kata Hajiji kepada wartawan selepas melancarkan program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di Kota Kinabalu, hari ini.

a821ec8b2a12cbce03caf3b6b61a415f

Katanya, penguatkuasaan hanya akan dibuat selepas agensi keselamatan menyerahkan laporan dan maklumat lengkap.

Semalam, peguam Tei mendakwa bahawa ahli perniagaan itu pada mulanya dihalang daripada memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Dia hanya dibenarkan masuk selepas mengemukakan dokumen bahawa dia perlu hadir ke mahkamah.

Pihak pendakwa raya dalam kes rasuahnya hari ini berkata mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Sabah bagi memastikan kemasukan lebih lancar.

Sementara itu, pada sidang media selepas kehadirannya di mahkamah hari ini, Tei menuduh Hajiji sengaja cuba mensabotaj perbicaraan rasuah tersebut.

edd0d9f157c864f80e98286d45e2956e

“Saya bukan orang yang membawa keganasan ke Sabah. Saya datang untuk membela diri, untuk menuntut keadilan di mahkamah.

“Sangat jelas dia cuba menghalang saya. Jika saya tidak boleh masuk Sabah, saya tidak boleh hadir ke mahkamah. Itu bermakna kes mahkamah akan digugurkan, dan dua YB yang dituduh dibebaskan.

“Saya mahu beritahu dia, saya tidak takut. Saya tidak akan tunduk kepada tindakannya. Dakwa saya kalau mahu. Saya bersedia menghadapinya. Tetapi dakwa juga yang lain. Jangan guna taktik ini untuk menyusahkan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji turut mengulas mengenai sama ada waris 13 mangsa yang terkorban dalam banjir dan tanah runtuh baru-baru ini layak menerima pampasan di bawah Skim Insurans Rakyat Sabah.

“Saya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian di bawah skim ini. Saya akan meneliti dan memastikan sama ada mereka layak atau tidak,” kata Hajiji.

Beliau menjelaskan bahawa sementara semakan kelayakan masih dijalankan, negeri telah pun menyalurkan bantuan segera.

“Melalui Yayasan Kebajikan Sabah, kita telah memberikan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa. Kerajaan negeri juga telah menyalurkan tambahan RM10,000,” katanya.

Pemeriksaan lanjut akan dibuat untuk menentukan sama ada perlindungan insurans itu meliputi mangsa.



Source link