PETALING JAYA: Baru mahu menghela nafas lega selepas konsert, anggota kumpulan Elite, Linda Rafar bagai kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mencela dirinya dan keluarga.
Menurut Linda, dia terbuka menerima sebarang kritikan berkaitan Konsert Elite yang berlangsung pada Sabtu lalu, namun enggan memaafkan segelintir netizen yang melontarkan komen yang melampaui batas.
“Dengan rasa rendah hati saya terima semua kritikan positif tetapi saya takkan maafkan mereka yang bagi kata-kata celaan serta mengaibkan diri serta keluarga.
“Saya takkan maafkan anda sampai bila-bila selagi anda semua tidak mintak maaf pada saya sendiri,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Trauma itu menyifatkan kejayaan konsert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan hadiah buat peminat setia mereka selepas 25 tahun dalam industri.
“Konsert Elite ini hanya untuk peminat saya yang setia menantikan kemunculan saya selepas 25 tahun. Kepada semua peminat sejati saya, saya sayang kalian.
“Segala yang buruk semua daripada saya dan yang terbaik hanya pada Allah SWT,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat menasihatkan agar Linda tidak mengambil pusing terhadap kecaman yang diterima malah memuji persembahannya bersama anggota lain pada Sabtu lalu.
“Jangan layan Linda kecaman. Ramai lagi suka dan sokong awak dan Elite. Sekat atau terhadkan saja komen,” kata seorang peminat.
“Saya tak nampak lagi perkongsian yang mengecam Elite. Sebab nampak yang baik-baik saja. Ke vibes yang saya baca semuanya positif? Apa pun Elite mengimbau kembali zaman sekolah dulu sebelum adanya Dolla,” komen seorang pengguna media sosial.
Sabtu lalu, Elite tampil bertenaga menghiburkan peminatnya menerusi lagu hits mereka di Konsert Elite Live ‘25 sekali gus mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka pada era 1990-an.