Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa perbuatan bergurau secara melampau sehingga mencederakan orang lain juga adalah satu bentuk buli yang tidak boleh dikompromikan.
Katanya, insiden sebegini tidak boleh didiamkan atas alasan gurauan kerana ia berpotensi membawa kecederaan kekal atau bahkan kematian jika tidak dibendung.
“Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?
“Harap pihak polis dapat segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua.” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Asyraf yang juga setiausaha agung Umno mengulas video insiden melibatkan sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang bergurau secara kasar dengan rakan mereka.
Dalam video tersebut beberapa rakan menangkap dan menghantuk kemaluan mangsa pada sebatang tiang papan tanda berulang kali sambil ketawa.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi terhadap budaya buli itu.
“KBS memandang serius perkara itu kerana ia menyentuh aspek keselamatan, maruah serta disiplin pelajar, selain menjadi ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 September sekitar jam 4.30 petang, manakala laporan rasmi hanya diterima sehari kemudian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut KBS, rentetan daripada laporan tersebut, siasatan dalaman telah dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa keselamatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“KBS menyeru semua pihak agar bertenang dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Tindakan tatatertib terhadap pelaku tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.
“KBS menegaskan bahawa tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di ILKBS,” katanya lagi.