PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima purata 40,000 permohonan penggantian kad dalam tempoh sebulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, untuk itu kerajaan perlu menanggung kos sebanyak RM714,660 sepanjang tempoh gantian percuma cip bermula hari ini hingga 7 Oktober depan.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, JPN juga akan memastikan stok dan bekalan kad mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan.
Katanya, JPN juga bersedia memanjangkan operasi kaunter sekiranya berlaku lonjakan permohonan penggantian cip MyKad rosak menjelang pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa akhir bulan ini.
“Saya sudah maklumkan kepada pegawai JPN, jika perlu tambah masa, mereka bersedia untuk berbuat demikian sehingga semua urusan selesai,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pengoperasian Bahagian Kad Pengenalan JPN, di Ibu Pejabat JPN Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya, tinjauannya di Ibu Pejabat JPN pagi tadi mendapati urusan di kaunter berjalan lancar walaupun jumlah kehadiran orang ramai semakin meningkat.
Saifuddin berkata, rata-rata orang ramai yang ditemui memilih berurusan di JPN Putrajaya kerana urusan pertukaran MyKad dapat disiapkan dalam masa sehari.
“Sehingga pukul 9 pagi tadi, sebanyak 99 angka giliran telah diagihkan malah, ada yang sudah memperoleh MyKad masing-masing.
“Mereka (orang awam) anggap tempoh menunggu sebagai tempoh yang wajar kerana urusan penggantian MyKad dapat diselesaikan pada hari sama,” katanya. – UTUSAN