PETALING JAYA: Pelawak, Amir Raja Lawak memaklumkan bapanya, Azmi Deris yang menghidap kanser meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, malam tadi
Khabar duka itu dikongsikan Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 36, menerusi hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum. Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan abah saya, Azmi (Abe Mie USM) menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi di HUSM Kubang Kerian.
“Semoga abah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, beramal soleh, solehah dan ahli syurga. Amin,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, Amir memaklumkan jenazah bapanya disolatkan di Masjid Desa Rahmat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian.
Tambah Amir, sebarang makluman lanjut berkenaan urusan pengebumian akan dimaklumkan melalui laman sosialnya.
Dalam pada itu, pelawak tersebut sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sering mendoakan bapanya.
“Terima kasih banyak-banyak pada yang mendoakan dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat arwah abah saya,” katanya.
Terdahulu, Amir mendedahkan bapanya menghidap kanser usus selain semakin uzur serta lemah pada pertengahan Julai lalu.
Amir turut memaklumkan bapanya sudah tidak mampu berdiri, mudah terjatuh dan memerlukan pengawasan rapi.-UTUSAN