Malaysia Oversight

Perak lancar Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Perak lancar Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera


IPOH: Perak melancarkan pelan komprehensif dalam bidang pendidikan merangkumi pelbagai peringkat umur bagi melahirkan lebih ramai anak negeri sebagai pemimpin masa depan, tokoh profesional dan pencetus inovasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani berkata, menerusi pelan tersebut, empat kluster utama pendidikan telah dikenal pasti iaitu pendidikan awal, pengajian tinggi, pendidikan wanita, pendidikan tahfiz dan ikhtisas.

Menurutnya, keempat-empat kluster itu agak signifikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai laluan tersendiri untuk berjaya.

“Kluster pendidikan awal misalnya menumpukan literasi dan numerasi manakala kluster pendidikan wanita membuka peluang ke arah kebolehupayaan ekonomi keluarga, khususnya ibu tunggal.

“Kluster-kluster ini diperkukuh dengan sepuluh domain teras termasuk pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kebolehpasaran graduan, pembelajaran digital dan transformasi TVET.

“Dengan kerangka menyeluruh ini, pendidikan di Perak dapat bergerak seiring dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) 2.0 Bersama Cikgu Saarani Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan dan Pelancaran Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.

Menurut Saarani, negeri turut mengangkat Transformasi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sebagai pemacu masa depan Perak.

“TVET bukan lagi dianggap laluan kedua, sebaliknya pilihan strategik yang melengkapkan anak muda dengan kemahiran sebenar untuk menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.

“Dengan pelaksanaan projek besar seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Kerian, Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) di Lekir serta Taman Teknologi Silver Valley (SVTP di Kanthan.

“Ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan,” katanya.

Ujarnya, menerusi pelan pemerkasaan pendidikan itu anak-anak negeri akan dipersiapkan dengan kemahiran teknikal dan insaniah bagi merebut peluang pekerjaan dalam projek-projek berimpak tinggi tersebut. – UTUSAN





Source link