Malaysia Oversight

KATA MP | Subsidi Petrol: Reaksi sederhana, rakyat waspada

By MkiniBM in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
KATA MP | Subsidi Petrol: Reaksi sederhana, rakyat waspada


Apabila diumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter, ramai menjangkakan rakyat akan menyambutnya dengan sorakan kegembiraan. Namun, reaksi rakyat kelihatan sederhana.

Hakikatnya, reaksi ini mencerminkan kematangan rakyat dalam menilai dasar secara lebih menyeluruh. Rakyat sedar bahawa petrol hanyalah sebahagian daripada rantaian kos sara hidup. Penurunan harga di stesen minyak tidak serta-merta mengurangkan apa yang dibayar di pasar, kedai runcit, kedai makan ataupun hospital.

Faktor lain seperti harga diesel, kos bahan mentah dan kos upah terus memberi tekanan kepada harga barangan, makanan, dan perkhidmatan. Fenomena inflasi ‘tolakan-kos’ ini sukar dikawal hanya dengan subsidi petrol, dan jelas masih belum ditangani secara menyeluruh oleh PMX dalam kerangka ekonomi ‘MahalDahNi’, yang akhirnya terus menekan kuasa beli rakyat.

Tiada had pendapatan, tetapi penggunaan dihadkan.

Struktur subsidi baharu turut menimbulkan persoalan. BUDI95 tidak mengenakan had pendapatan, T15 mahupun B85, sebaliknya hanya menetapkan had penggunaan 300 liter sebulan.

Pendekatan ini tidak mengambil kira variasi sebenar keperluan rakyat – sama ada keluarga besar atau kecil, jenis kenderaan, jarak ulang-alik tempat kerja, bahkan perjalanan pulang ke kampung beratus kilometer. Ringkasnya, subsidi yang dikatakan bersasar kelihatan sedikit tersasar.

Budi menggantikan Padu.

Sebelum ini, rakyat digesa mendaftar Padu untuk menikmati subsidi petrol. Tetapi dengan Budi95, pendaftaran tidak lagi diperlukan.

Ya, tidak perlu mendaftar. Semua layak secara automatik. 

Mekanisme baharu ini secara tidak langsung mengisytiharkan bahawa Padu, yang diuar-uarkan sebagai pangkalan data nasional, gagal mencapai objektifnya. Jelas, ini menunjukkan suatu pembaziran sumber dan tenaga di pihak

Dalam masa yang sama, dua aspek penting masih menjadi keraguan: kecekapan penggunaan dan keselamatan data pengguna.

Pelaksanaan Budi95 bergantung sepenuhnya kepada pengesahan melalui MyKad. Hal ini berpotensi menimbulkan kerumitan di stesen minyak, termasuk proses verifikasi yang lebih panjang, selain membuka persoalan tentang integriti sistem dan perlindungan maklumat peribadi.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa data mereka diurus secara telus, tidak disalahgunakan, dan dilindungi dengan tahap keselamatan siber yang tinggi.

Secara keseluruhan, rakyat menyambut pengumuman ‘populis’ ini dengan penuh berhati-hati. Perubahan harga di stesen minyak tidak menutup permasalahan yang lebih besar – kos sara hidup yang kian menekan, kuasa beli yang semakin terhakis, dan reformasi fiskal yang masih ‘tempang’ di era Madani, khususnya dalam aspek ketelusan dan konsistensi pelaksanaan.

Saranan saya, jernihkan di huluan (upstream), maka jernihlah di hiliran (downstream);

Supaya ekonomi beroleh keberkatan, hak royalti ditunaikan.

Supaya ekonomi beroleh kemakmuran, hak subsidi diagihkan.

Berbalik kepada harga RM1.99 seliter, rakyat menuntut kepastian terhadap dua persoalan pokok berikut:

Berapakah anggaran penjimatan subsidi di pihak , dan ke manakah penjimatan ini akan disalurkan? Dan soalan tambahan daripada Pak Mat dan Uncle Lim – berapa lama harga RM1.99 ini mampu bertahan?


SYAHIR SULAIMAN adalah anggota parlimen Bachok daripada .

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link