Malaysia Oversight

Detik anak digantung makin hampir: Ibu buat persiapan pengebumian

By MkiniBM in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Detik anak digantung makin hampir: Ibu buat persiapan pengebumian


“Suaranya bergetar ketika menceritakan sesuatu yang tak terbayang: membuat persiapan pengebumian sementara anaknya masih bernyawa.”

Demikian kata aktivis Singapura dan bekas peguam, M Ravi, yang mengimbas perbualan pilu dengan ibu kepada K Datchinamurthy, selepas dimaklumkan bahawa anak lelakinya yang berusia 39 tahun itu dijadualkan digantung mati pada Khamis ini kerana menyeludup 44.96g diamorfin ke republik tersebut.

af5b20438f642cfc6d743ca84d78531a
M Ravi

“Inilah kekejaman hukuman mati: keluarga perlu menghitung detik, menunggu di luar Penjara Changi sepanjang malam, dan bersiap sedia untuk menerima tubuh anak yang mereka besarkan,” tambahnya.

Dalam hantaran di Facebook, Ravi berkata dia menerima notis pelaksanaan hukuman terhadap bekas anak guamnya itu semalam.

Menyifatkan Datchinamurthy sebagai salah seorang “jiwa paling lembut” yang pernah ditemuinya, Ravi menegaskan kes tersebut mendedahkan betapa “rapuhnya” proses keadilan.

“Pihak penjara pernah menyerahkan surat-menyurat sulit Datchinamurthy kepada Pejabat Peguam Negara, suatu pencabulan hak banduan yang kemudian diputuskan mahkamah sebagai tidak sah.

“Namun dia tetap akan dihukum mati,” katanya.

Di ambang hukuman

Datchinamurthy, yang pertama kali dijatuhkan hukuman mati pada 2015 selepas ditangkap pada 2011, pernah dijadualkan untuk dieksekusi pada 2022.

Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan hukuman daripada Mahkamah Tinggi Singapura sementara menunggu saman undang-undangnya terhadap republik itu berhubung hukuman mati yang dijatuhkan.

6e5fce149f52ee2d8263da7ee7ce5fe6
K Datchinamurthy

Dia juga antara empat rakyat Malaysia yang kini dalam hukuman gantung di Singapura, sebagaimana dibangkitkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) awal bulan ini ketika mendesak supaya campur tangan.

Tiga yang lain ialah P Pannir Selvam, S Saminathan, dan R Lingkesvaran.

Selain mendesak melaksanakan segala langkah diplomatik dan undang-undang bagi melindungi hak serta nyawa rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di luar negara, Suhakam turut menyeru penglibatan mekanisme hak asasi antarabangsa dan serantau agar kes mereka diberi pertimbangan sewajarnya.

Suhakam juga menekankan supaya meneruskan peranan kepimpinan Malaysia dalam memperjuangkan pemansuhan progresif hukuman mati di peringkat serantau dan antarabangsa.



Source link