Pihak pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memfailkan rayuan bagi meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan pembebasan Ahli Parlimen Muar berkenaan.
Dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini menunjukkan rayuan itu difailkan atas beberapa alasan, termasuk dakwaan bahawa panel Mahkamah Rayuan terkhilaf serta menilai semula keterangan secara terpilih dalam kes tersebut sehingga menyebabkan ketidakadilan yang serius.
“Hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam undang-undang dan fakta apabila membuat tuduhan melulu terhadap pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa saksi pendakwaan (Rafiq Hakim Razali) ditekan untuk memberikan keterangan bagi menyenangkan SPRM serta menyesuaikan keterangan tersebut dengan kes pendakwaan, sedangkan tiada bukti yang menyokong tuduhan itu.
“Hakim-hakim juga tersilap apabila mereka tidak menimbangkan keseluruhan keterangan dalam rekod rayuan, sedangkan semua keterangan itu akan menunjukkan bahawa arahan yang diberikan oleh responden (Syed Saddiq) kepada Rafiq dipengaruhi oleh niat jahat serta ketidakjujuran,” menurut dokumen berkenaan.
Ketua pasukan pendakwaan, Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa rayuan tersebut difailkan hari ini, dan mereka telah memfailkan notis rayuan pada 26 Jun lalu iaitu sehari selepas Syed Saddiq dibebaskan.
Wan Shaharuddin turut mengesahkan Mahkamah Persekutuan setakat ini masih belum menetapkan tarikh pengurusan kes atau pendengaran rayuan tersebut.
Syed Saddiq dibebaskan pada 25 Jun lalu selepas panel Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka terhadap bekas Presiden Muda terbabit.
Panel berkenaan yang dipengerusikan hakim Zaidi Ibrahim bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin turut mendapati mahkamah tinggi terkhilaf kerana tidak menilai sepenuhnya pembelaan Syed Saddiq sehingga menyebabkan sabitan terhadap.
Sebelum pembebasannya, Syed Saddiq didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana dituduh bersubahat dengan Rafiq – yang diamanahkan dengan dana Pemuda Bersatu berjumlah RM1 juta – untuk melakukan jenayah pecah amanah pada 6 Mac 2020.
Bekas menteri belia dan sukan itu juga didakwa di bawah Seksyen 403 kerana menyalahgunakan RM120,000 dari akaun Maybank Islamic Bhd (Maybank Islamic) milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan mengarahkan Rafiq melupuskan dana tersebut antara 8 hingga 21 April 2018.
Selain itu, Syed Saddiq berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi RM50,000 setiap satu, yang didakwa hasil daripada aktiviti haram, dari akaun Maybank Islamic miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta, manakala dua pertuduhan pengubahan wang haram dibicarakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut supaya keempat-empat pertuduhan dapat dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 25 November 2021, Syed Saddiq dibenarkan memindahkan kes itu dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.
Perbicaraan kesnya bermula pada 21 Jun 2022 dan pada 28 Okt tahun yang sama mahkamah tinggi memerintah ahli politik terbabit membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Dia kemudian disabitkan atas kesalahan berkenaan serta dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta pada 9 November 2023.