Ahli perniagaan Albert Tei membuat laporan kepada polis dan SPRM di Sabah terhadap Ketua Menteri, Hajiji Noor, yang menuntut siasatan berhubung bagaimana butiran sulit boleh dibocorkan.
Tei mendakwa semasa dia ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, pada mulanya, dirinya dimaklumkan bahawa “sistem sedang mengalami masalah”.
“Saya rasa ini agak lucu kerana saya diberitahu sistem bermasalah selepas seorang pegawai meneliti kandungan laporan tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia kemudian ke balai polis di Karamunsing, dengan terlebih dahulu memeriksa jika sistem di situ berfungsi sebelum mendedahkan kandungan laporan.

Dalam laporannya, Tei – yang sebelum ini membongkar skandal perlombongan melibatkan pemimpin gabungan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji – menuduh ketua menteri itu melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana membocorkan maklumat sulit.
Tei merujuk ucapan Hajiji pada 14 Dis tahun lalu, yang dibuat tidak lama selepas dia menyiarkan beberapa video, yang Hajiji mengakui bahawa dia sedia maklum mengenai siasatan SPRM terhadap Tei.
Sebuah klip TikTok menunjukkan Hajiji berkata dia “dimaklumkan” bahawa Tei “tidak mengaku melakukannya” ketika disoal oleh SPRM.
“Hajiji secara terbuka telah mengesahkan dan membuat pengakuan bahawa beliau mengetahui keterangan yang diberikan oleh saya kepada SPRM berhubung siasatan kegiatan rasuah lesen mencarigali mineral yang melibatkan tuduhan terhadap beliau serta lapan Adun dan seorang Speaker DUN daripada parti pemerintah kerajaan GRS di bawah pentadbirannya.
“Terbukti Hajiji telah campur tangan di dalam siasatan SPRM. Siasatan yang dilakukan adalah tidak telus, tidak adil, tidak bebas dan dipengaruhi serta memihak kepada Hajiji.
“Bagaimana Hajiji tahu mengenai keterangan saya yang dirakam oleh SPRM diklasifikasikan sebagai maklumat sulit dan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), perbuatannya telah membentukkan elemen jenayah,” katanya.
Tei, yang berulang kali menuduh pihak berkuasa menutup skandal itu, berkata kejadian terbaru ini mengesahkan kebimbangannya mengenai kes berprofil tinggi.
“Kejadian ini telah mengukuhkan kebimbangan saya bahawa dalam siasatan kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin politik berkuasa dan berpengaruh seperti Hajiji bahkan rakaman keterangan saya kepada SPRM tidak terlepas daripada bocor kepada orang yang sepatutnya disiasat.
“Seolah-oleh Hajiji kebal daripada tindakan undang-undang, tidak dapat disentuh,” katanya.
Sebelum ini, peguam veteran Shafee Abdullah turut membangkitkan persoalan sama selepas video TikTok ucapan Hajiji itu didedahkan.
Tei yang ditemani peguam Jul Hamri turut merujuk ucapan tersebut dalam laporannya kepada SPRM Sabah, sambil menuntut pihak bertanggungjawab dinamakan.
“Terbukti Hajiji telah campur tangan di dalam siasatan SPRM, siasatan yang dilakukan oleh SPRM adalah tidak telus, tidak adil, tidak bebas dan dipengaruhi serta memihak kepada Hajiji.
“Saya menggesa pihak polis segera membuka kertas siasatan berdasarkan fakta dan unsur jenayah yang jelas wujud,” katanya.