Malaysia Oversight

MRCA, PPKM gesa pelaksanaan SST secara berperingkat

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 3 minute
MRCA, PPKM gesa pelaksanaan SST secara berperingkat


PETALING JAYA: disarankan mempertimbangkan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (SST) lapan peratus ke atas sewaan dan pajakan harta komersial secara berperingkat bermula tahun hadapan bagi mengelakkan kejutan kos yang boleh melemahkan sektor runcit negara. 

Dalam kenyataan bersama, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM)  mencadangkan kadar SST ke atas sewaan dan pajakan dikurangkan kepada empat peratus pada 2026, sebelum dinaikkan secara beransur-ansur kepada lapan peratus dalam tempoh 10 tahun. 

“Pendekatan berfasa itu dilihat penting bagi memberi masa mencukupi kepada peniaga dan pengguna untuk menyesuaikan diri, di samping memastikan mencapai sasaran fiskal selaras pertumbuhan mapan dan kesejahteraan bersama.

“Selain itu, MRCA dan PPKM turut menyarankan kadar SST ke atas kerja pembinaan dan pengubahsuaian diturunkan daripada enam peratus kepada tiga peratus. 

“Ini kerana kerja pengubahsuaian setiap dua hingga tiga tahun merupakan syarat mandatori dalam perjanjian pajakan, sekali gus menjadi kos utama kepada peruncit.

“Pengurangan cukai ini akan meringankan beban peniaga serta memastikan pusat beli-belah kekal menarik dan berdaya saing lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. 

Menurut kajian PPKM, dengan kadar sewa purata RM7 hingga RM8 setiap kaki persegi sebulan dan keluasan boleh disewa bersih sebanyak 196.2 juta kaki persegi di seluruh negara, peruncit dijangka menanggung tambahan cukai antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun.

“Sebagai perbandingan, kenaikan sewa lazimnya sekitar lima peratus setiap dua atau tiga tahun. SST lapan peratus dilaksanakan serta-merta dan hampir dua kali ganda kadar biasa, sekali gus mencetuskan kejutan kos yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi di pusat beli-belah,” jelasnya. 

Persatuan itu juga menekankan keperluan garis panduan lebih jelas mengenai komponen bercukai, selain pemantauan kesan inflasi secara berterusan agar dasar berkenaan menyokong matlamat fiskal tanpa mengorbankan ekosistem runcit.

“Beban tambahan itu berlaku ketika peniaga turut berdepan peningkatan kos lain, termasuk gaji minimum RM1,700 yang dikuatkuasakan Februari lalu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib bagi pekerja asing mulai Oktober, selain had gaji untuk caruman Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sejak tahun lalu.

“Dalam masa sama, langkah tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan tertentu dijangka menaikkan kos bahan mentah dan produk seperti pakaian, makanan dan elektronik.

“Gabungan tekanan ini mengecilkan margin keuntungan, melemahkan rancangan pengembangan dan boleh mengurangkan sumbangan cukai korporat dalam jangka panjang,” katanya. 

Pengendali pusat beli-belah turut berhadapan beban apabila SST baharu dianggarkan menambah antara 15 hingga 18 peratus kepada kos operasi semasa, sedangkan kajian bersama PPKM–Stratos Pinnacle menunjukkan jurang 27 peratus antara perbelanjaan operasi dan caj boleh pulih. – UTUSAN





Source link