Malaysia Oversight

Harga MSM dijangka antara RM4,200-RM4,500

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Harga MSM dijangka antara RM4,200-RM4,500


PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan antara RM4,200 dan RM4,500 untuk beberapa minggu akan datang, dipacu oleh oleh pasaran minyak sayuran global yang kukuh dan ketidaktentuan bekalan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Menurut kenyataannya, peningkatan itu dihadkan oleh permintaan yang lemah daripada pasaran utama, manakala sokongan datang daripada ketidaktentuan dalam bekalan boleh eksport.

Katanya, ini terutamanya minyak sawit dari Indonesia dan minyak kacang soya dari Amerika Syarikat (AS) dan Brazil disebabkan oleh dasar biodiesel.

“Dalam pada itu, harga minyak mentah telah stabil sekitar AS$60 (RM252.62) setong dengan potensi peningkatan memberikan sokongan selanjutnya kepada minyak sayuran,” katanya.

MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit akan memasuki musim rendahnya pada bulan November, dengan stok dijangka menurun selepas memuncak pada bulan Oktober.

Menurutnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 43,000 tan (naik 2.4 peratus bulan ke bulan) kepada 1.85 juta tan pada Ogos, didorong terutamanya oleh pengeluaran yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak, yang masing-masing meningkat sebanyak 13,000 tan dan 50,000 tan. 

“Sebaliknya, pengeluaran di Semenanjung Malaysia mula merosot selepas memuncak pada bulan Julai. Eksport pada Ogos sebahagian besarnya tidak berubah daripada Julai pada 1.32 juta tan. 

“Penghantaran ke rantau Asia Pasifik, Afrika Sub-Sahara, 27 Ahli Kesatuan Eropah (EU-27), Afrika Utara dan Asia Barat mencatatkan peningkatan bulan ke bulan, manakala eksport ke Amerika dan Asia Selatan mencatatkan penurunan kecil,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, MPOC berkata, penggunaan empat minyak sayuran utama pada 2026 diunjurkan mengatasi pertumbuhan pengeluaran, mengakibatkan defisit bekalan yang sederhana.

“Permintaan minyak kacang soya yang lebih kukuh di AS dan Brazil, didorong oleh mandat biodiesel yang lebih tinggi dijangka mengetatkan ketersediaan eksport minyak kacang soya global.

“Pada masa yang sama, minyak sawit boleh eksport Indonesia mampu jatuh di bawah potensi jika menaikkan mandat biodiesel kepada B50. Faktor-faktor ini berkemungkinan akan mengekalkan harga minyak sayuran yang disokong sepanjang baki tahun 2025,” jelasnya. – UTUSAN





Source link