Malaysia Oversight

‘Ketua Polis Kelantan perlu tarik balik cadangan, minta maaf pada wanita’

By MkiniBM in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
'Ketua Polis Kelantan perlu tarik balik cadangan, minta maaf pada wanita'


Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata Ketua Polis Mohd Yusoff Mamat perlu menarik balik cadangannya berhubung gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa.

Lim turut menggesa Yusoff agar meminta maaf atas sikap “tidak sensitifnya” terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, serta memberi tumpuan terhadap tugasnya untuk mengekang kes rogol dan rogol statutori di .

“Cadangan sebegitu bukan sahaja tersasar, malah menunjukkan tiadanya simpati, empati dan belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan yang masih di bawah umur serta mangsa rogol statutori.

“Ada sebab mengapa umur keizinan ditetapkan pada 16 tahun, dan mengapa undang-undang menjadikan perbuatan pelaku yang melakukan hubungan seks ‘suka sama suka’ dengan individu bawah umur sebagai satu kesalahan jenayah rogol statutori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cadangan itu turut dibantah Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah yang antara lain berkata ia bercanggah dengan semangat undang-undang jenayah seksual di Malaysia dan mencerminkan salah faham serius terhadap prinsip perlindungan kanak-kanak.

Semalam, Yusoff mengutarakan cadangan itu dengan menyatakan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka berdasarkan hasil siasatan.

Mengulas lanjut, Lim berkata tujuan di sebalik undang-undang tersebut adalah untuk melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual memandangkan “usia mereka yang masih mentah, belum matang dan tidak cukup pengetahuan untuk membuat keputusan sendiri bagi memberikan keizinan melakukan hubungan seks”. 

“Peruntukan liabiliti ketat ini bukan sahaja termaktub dalam undang-undang Malaysia, tetapi hampir di seluruh dunia, dengan hanya perbezaan dari segi penetapan umur sah bagi keizinan tersebut.

“Apa yang membuatkan Malaysia begitu berbeza sehingga mangsa pula yang perlu dihukum hanya kerana memberi keizinan, sedangkan dari segi undang-undang dia sendiri tidak mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian?” soalnya lagi.

Tahun lalu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan (gambar atas) berkata peningkatan kes rogol statutori dipercayai berpunca daripada kegiatan grooming (pengantunan seksual) di media sosial.

Pengantunan seksual kanak-kanak berlaku apabila seorang dewasa memperoleh kepercayaan kanak-kanak yang terdedah bagi membuka ruang kepada hubungan seksual.



Source link