Malaysia Oversight

RM60 Jadi RM800, JPJ cekup pemandu ‘ulat teksi’ KLIA

By MkiniBM in September 22, 2025 – Reading time 1 minute
RM60 Jadi RM800, JPJ cekup pemandu ‘ulat teksi’ KLIA


Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran tidak akan berkompromi dengan kegiatan ‘ulat teksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 yang merosakkan imej negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan seorang pemandu ‘ulat teksi’ susulan insiden seorang pelancong asing yang ditipu dengan caj berlipat ganda di KLIA 2 baru-baru ini.

“Selepas tular di media sosial dua hari lalu mengenai seorang pelancong asing yang ditipu oleh ‘ulat’ di KLIA T2 – dengan tawaran asal RM60 tetapi dipaksa membayar RM800 sebelum turun daripada kereta – saya telah mengarahkan JPJ menjejaki kenderaan tersebut.

“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ telah berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya. Kereta itu telah disita serta-merta dan kertas siasatan dibuka untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Loke turut berkongsi gambar kenderaan yang disita dan merakamkan penghargaan kepada JPJ atas tindakan pantas tersebut.

Pada 15 Sept lepas, video seorang pelancong asing tular di media sosial yang mendedahkan bahawa dia ditawarkan tambang RM60 oleh seorang lelaki warga tempatan ketika mencari bas ke sebuah hotel di ibu negara.

9504ac649abd41e058e467d4c7f66e31

Bagaimanapun, sebaik tiba di hadapan hotel, pemandu berkenaan enggan berhenti, sebaliknya memandu ke kawasan sunyi sebelum menuntut bayaran sebanyak RM836, kira-kira 14 kali ganda daripada jumlah asal.

– Bernama



Source link