KUALA LUMPUR: ‘Dia tarik diri. Bila mahu tandatangan kontrak, dia menghilangkan diri. Kalau betul berani, ke depanlah.”
Demikian luahan pelakon dan pengcara, Harris Aliff yang menempelak tindakan seorang aktor yang sebelum ini dikatakan mencabarnya dalam kejohanan tinju, All Star Championship 2025.
Harris berkata, tindakan aktor tersebut menarik diri sebelum kejohanan tidak selari dengan pelbagai dakwaan serta tuduihan sehingga berani mencabarnya sebelum ini.
“Isu ini tiada berkesudahan dan akan terus berjalan. Saya akan cari jalan mungkin penganjur untuk mengadakan perlawanan tinju secara profesional antara kami. Bila tarik diri, nampaklah takut itu.
“Mulut sahaja lebih, tetapi penakut,” kongsi Harris ketika ditemui di saringan pertama All Star Championship 2025 semalam.
Kongsi suami kepada Intan Ladyana ini, dia menyertai kejohanan tersebut untuk mencari pengalaman baharu dan mungkin peluang menyertai lebih banyak kejohanan sukan tinju selepas ini.
“Saya teringin sebenarnya mahu sertai kejohanan tinju, tidak pernah sertai pun kejohanan seperti All Star Championship 2025 ini. Ini langkah pertama saya untuk sertai secara serius sukan tinju ini.
“Lagipula, kejohanan All Star Championship 2025 juga menawarkan hadiah yang cukup lumayan jadi ini juga antara salah satu uasaha saya mencari rezeki untuk keluarga,” ujar suami kepada pelakon, Intan Ladyana itu.
Untuk info, Asia Championship 2025 menghimpunkan lebih 20 selebriti dan pempengaruh dalam kejohanan tinju yang menggabungkan dunia sukan serta digital.
Kejohanan yang turut disiarkan secara langsung dengan pembelian tiket bakal diteruskan ke pusingan kedua 4 Oktober depan sebelum melabuhkan tirainya 18 Oktober depan seiiring dengan All Stars Influencer Award 2025.-UTUSAN