Seorang warganegara Malaysia dijadualkan untuk dihukum mati di Singapura pada hari Khamis ini kerana kesalahan menyeludup 44.96 gram diamorfin ke republik tersebut.
Aktivis dan bekas peguam, M Ravi, berkata dia telah menerima notis pelaksanaan hukuman mati terhadap bekas anak guamnya, K Datchinamurthy, semalam.
Menyifatkan Datchinamurthy sebagai salah seorang “jiwa paling lembut” yang pernah dikenalinya, Ravi berkongsi perbualannya yang penuh emosi dengan ibu banduan tersebut selepas menerima pengesahan tentang pelaksanaan hukuman ke atas anaknya.
“Suara dia bergetar apabila menggambarkan sesuatu yang sukar dibayangkan: merancang satu pengebumian sementara anaknya masih bernyawa.
“Inilah kekejaman hukuman mati: keluarga terpaksa mengira jam, menunggu di luar Penjara Changi sepanjang malam dan bersedia untuk menerima jasad anak yang mereka besarkan,” luahnya pada satu hantaran di Facebook hari ini.
Dia berkata kes Datchinamurthy menunjukkan betapa “rapuhnya” proses keadilan.
“Pihak penjara pernah menyerahkan surat-menyurat sulit Datchinamurthy kepada Pejabat Peguam Negara, satu pelanggaran hak banduan yang kemudiannya diputuskan oleh mahkamah sebagai menyalahi undang-undang.
“Namun dia tetap akan dihukum mati,” kata Ravi.
Datchinamurthy, yang mula-mula dijatuhi hukuman mati pada tahun 2015 selepas ditangkap pada 2011, dijadualkan untuk dihukum mati pada tahun 2022.
Bagaimanapun, dia berjaya mendapatkan penangguhan hukuman mati daripada Mahkamah Tinggi Singapura sementara menunggu perbicaraan saman undang-undangnya terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman tersebut.
Dia juga merupakan salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura yang telah disebut oleh Suhakam pada awal bulan ini dalam rayuan mereka agar Putrajaya campur tangan dalam pelaksanaan hukuman mati tersebut.
Tiga lagi individu ialah P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil segala langkah diplomatik dan perundangan yang boleh dibuat demi melindungi hak dan nyawa warganegara Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di luar negara.
Suhakam juga menyeru supaya mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau digerakkan agar kes-kes ini diberikan perhatian sewajarnya.
Suruhanjaya itu berkata kerajaan perlu meneruskan peranan kepimpinan Malaysia dalam memperjuangkan penghapusan hukuman mati secara berperingkat di peringkat serantau dan antarabangsa.