Presiden Umany Tang Yi Ze dipanggil polis berhubung kenyataannya mengenai cadangan pemansuhan program matrikulasi.
Lawyers For Liberty (LFL) berkata Tang akan memberikan keterangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam dua petang esok.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” kata LFL.
Tambahnya lagi, Tang akan ditemani oleh peguamnya, Zaid Malek, yang juga pengarah LFL dalam kenyataan hari ini.
Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 233 memperuntukkan denda sehingga RM500,000, hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Polis juga telah mengambil keterangan daripada wartawan Malaysiakini, Shakira Buang pada 18 September lalu berhubung artikel yang memetik kenyataan Tang, yang mana dia menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kelayakan untuk kemasukan ke universiti awam.
Umany kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan mereka menggunakan istilah yang salah dalam mencadangkan penggabungan program tersebut dengan peperiksaan STPM.
Terdahulu, pada 12 Sept lalu, Umany telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggariskan cadangan itu sebagai cara paling berkesan untuk menangani isu berkaitan kuota kemasukan ke universiti.
Memorandum tersebut dihantar sebagai respons kepada laporan media mengenai pelajar lepasan STPM, Edward Wong, yang memperoleh CGPA 4.0 dalam peperiksaan itu dan bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan, namun ditolak oleh enam universiti awam.
Amnesty International Malaysia sebelum ini turut mengecam siasatan polis terhadap Umany, serta mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang janjinya untuk melindungi suara mahasiswa.






