Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melihat pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung penyasaran subsidi petrol RON95 sebagai langkah kerajaan menepati janji bagi memastikan subsidi benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia, di samping menangani ketirisan.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pihaknya bagaimanapun berpandangan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan rentan.
“Subsidi petrol sememangnya menjadi nadi kepada mobiliti rakyat dan akses ekonomi, maka kerajaan perlu memastikan manfaatnya lebih dirasai oleh kelompok yang paling bergantung kepada bahan api ini, termasuk golongan B40, pekerja gig, petani, dan nelayan.
“Dalam masa yang sama, langkah penyasaran subsidi ini berpotensi menimbulkan kesan rantaian terhadap kos logistik, makanan asas, dan pengangkutan awam.
“Justeru, Abim menekankan keperluan kerajaan menyediakan langkah mitigasi yang jelas, termasuk menggunakan penjimatan subsidi untuk menyokong tambang awam serta menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pagi ini Anwar mengumumkan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September.
Katanya, had subsidi tersebut ditetapkan pada 300 liter sebulan, namun pemandu e-hailing dikecualikan daripadanya.
Mohd Fahmi berkata, Abim turut mengingatkan bahawa dasar ini mesti dilaksanakan secara adil dan berperikemanusiaan, termasuk terhadap pekerja migran sah yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.
Menurutnya, walaupun mereka tidak layak menerima subsidi, kerajaan wajar menjelaskan mekanisme yang tidak membebankan pekerja berpendapatan rendah daripada kalangan ini agar mereka tidak menanggung kos berlebihan.
Jika tidak, katanya, pada akhirnya ia boleh menjejaskan sektor ekonomi tertentu.
“Selain itu, keberkesanan pelaksanaan penyasaran subsidi ini amat bergantung kepada infrastruktur sokongan seperti sistem MyKad, pembaca kad, dan aplikasi digital. Justeru, Abim menggesa agar semua sistem berfungsi dengan baik sebelum tarikh kuat kuasa bagi mengelakkan kekecohan di stesen minyak.
“Kerajaan juga wajar mempertimbangkan tempoh percubaan yang lebih panjang, khususnya di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi,” katanya.
Bukan gula saja tiris
Dalam konteks lebih luas, Abim berpandangan masalah ketirisan subsidi bukan hanya melibatkan petrol semata-mata, tetapi juga subsidi pukal lain seperti tol, beras, gula, elektrik, dan minyak masak yang turut dinikmati oleh bukan warganegara atau kumpulan yang tidak layak.
Justeru jelasnya, kerajaan wajar menggerakkan reformasi menyeluruh ke arah model subsidi yang lebih pintar (smart targeting), agar manfaatnya benar-benar disasarkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Abim mencadangkan agar kerajaan memperkukuh penggunaan pendigitalan pintar dan integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan supaya kelayakan subsidi dapat disahkan secara automatik di belakang sistem tanpa membebankan pengguna di stesen minyak.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan dan mengelakkan kerumitan manual, malah akan menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk melaksanakan model subsidi pintar (smart subsidies) pada masa depan,” kata Mohd Fahmi.
Selain itu pihaknya juga menegaskan bahawa dasar penyasaran subsidi RON95 ini mesti dilihat bukan semata-mata sebagai langkah fiskal, tetapi sebagai dasar yang mencerminkan nilai keadilan sosial, keterangkuman, dan penyantunan rakyat.
“Subsidi bahan api adalah hak rakyat yang wajib dilindungi oleh negara. Pelaksanaan yang adil, telus, dan berpihak kepada rakyat akan memperkukuh iltizam Kerajaan Madani untuk memartabatkan Malaysia sebagai negara sejahtera dan bermaruah, serta menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain,” katanya.