Dua individu bergelar Datuk antara yang ditahan dalam operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi, melibatkan kerugian melebihi RM247 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata sindiket tersebut beroperasi menggunakan syarikat sah berlesen namun disokong oleh elemen kongsi gelap.
“Syarikat ini bukan syarikat tidak berlesen, tetapi syarikat berlesen yang telah menyalahgunakan lesen mereka untuk tujuan penyeludupan.
“Setakat ini, tiada maklumat mengenai penglibatan VIP. Namun, dua daripada yang ditahan memiliki gelaran Datuk,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Menurut Azam, siasatan yang digerakkan sejak tahun lalu itu adalah hasil maklumat awam, yang kemudiannya dianalisis secara menyeluruh oleh bahagian risikan SPRM.
Azam berkata sindiket tersebut juga didapati menjalankan operasi penyeludupan secara licik sehingga menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
“Penyelewengan diesel dilakukan secara sistematik, termasuk menggunakan kemudahan logistik seperti kapal tangki, dan sokongan dari jaringan yang beroperasi dalam kawasan strategik seperti Bintulu, Sarawak.
“Kegiatan ini melibatkan pengumpulan minyak termasuk dari pihak nelayan, kemudian dipindahkan secara tidak sah, untuk dibawa keluar menggunakan laluan tersusun yang mengelakkan pemantauan pihak berkuasa,” katanya.
Azam turut mengesahkan bahawa siasatan masih berjalan dan beberapa akaun syarikat serta individu terbabit sedang disiasat untuk tempoh sehingga 10 tahun ke belakang bagi mengesan unsur pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Katanya lagi, SPRM juga menjalankan siasatan secara proaktif dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti jumlah cukai yang dielak serta subsidi yang disalahguna.
“Kita akan lihat bukan hanya pada kesalahan semasa, tetapi juga siasat pemilikan, aliran kewangan, dan kegiatan mereka sejak 10 tahun lepas,” kata Azam.
Selain itu, Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terlibat, dan mengesahkan wujudnya maklumat mengenai penglibatan penjawat awam, namun enggan mendedahkan butiran kerana siasatan masih berlangsung.
Menurutnya, operasi terbaharu yang dinamakan ‘Op Karen’ adalah kesinambungan daripada operasi terdahulu, ‘Op Liter’, yang dilaksanakan tahun lalu juga di Sarawak.
“Ini bukan tindakan ad-hoc. Siasatan dilakukan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti masa dan lokasi operasi, dokumen penting, serta rangkaian logistik mereka,” katanya.
Azam mendedahkan bahawa beberapa syarikat yang menyokong kegiatan sindiket ini adalah syarikat kongsi gelap yang bertindak menyediakan sokongan logistik, perlindungan, dan mempermudah aktiviti penyeludupan diesel.
“Syarikat utama ini disokong oleh syarikat-syarikat rahsia. Malah ada unsur perlindungan yang disediakan kepada mereka,” katanya.
Tambah Azam, anggaran awal kerugian mencecah RM247 juta, namun jumlah itu dijangka meningkat selepas siasatan forensik kewangan selesai.
“Jumlah ini hanyalah permulaan. Dengan tindakan pemulihan dan penalti yang dikenakan, saya percaya kerajaan akan memperoleh semula jumlah yang lebih besar,” katanya.
Katanya lagi, SPRM menjangkakan tindakan susulan akan diambil ke atas syarikat terlibat termasuk disenarai hitam, pendakwaan di bawah Akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram, dan siasatan oleh KPDN berhubung salah guna subsidi diesel.
“Saya percaya syarikat ini perlu disenarai hitam dan tidak lagi dibenarkan menerima apa-apa bentuk subsidi atau kelulusan daripada kerajaan,” kata Azam.
Media sebelum ini mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api ke seluruh Sarawak, dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.
Rasuah orang dalam
Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri tersebut.
Hasil daripada pemberian rasuah itu, sindiket terbabit berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Sindiket itu dipercayai memonopoli tender berkenaan sejak 10 tahun lalu hingga kini.
Mereka berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel lebih rendah berbanding syarikat pengeluar minyak besar lain.
Selain itu, bekalan minyak diesel untuk kerajaan negeri juga dipercayai diseludup dan diseleweng kepada kapal luar pesisir.