Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Presiden Warisan Shafie Apdal boleh berdepan dengan tuduhan menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata pihaknya sedang meneliti secara terperinci kandungan kenyataan Shafie yang didakwa dibuat dalam satu program pada 20 September lalu.
“Kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai,” kata AGC.
AGC juga sekali lagi mengingatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan prosiding di Mahkamah Koroner.
Media sebelum ini melaporkan sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan Shafie, ketika berucap di satu program politik, mendakwa pihak berkuasa, khususnya polis, gagal mengendalikan kes kematian Zara.
“Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama,” dia dilaporkan berkata dalam rakaman tersebut.
Sebagai respons terhadap kenyataan itu, barisan peguam yang mewakili empat pelajar yang dituduh membuli Zara menyifatkannya sebagai bahaya dan mencabar kewibawaan mahkamah.
In response to the Semporna MP’s claims, legal representatives for the four students accused of bullying Zara described his remarks as “reckless, dangerous and an affront to the court.”
Memetik laporan Free Malaysia Today semalam, mereka berkata tindakan mengeksploitasi tragedi demi keuntungan politik adalah tahap terendah yang boleh dicapai mana-mana ahli politik.
“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial,” kata mereka.
Barisan peguam tersebut – Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan – mewakili empat pelajar yang didakwa dalam kes berasingan atas tuduhan membuli Zara secara lisan.
Mereka juga mewakili pelajar B, C, D dan E dalam inkues kematian Zara.
Inkues tersebut dibuat bagi meneliti keadaan yang membawa kepada insiden Zara jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada Julai lalu.
Zara, pelajar berusia 13 tahun dari Papar, ditemui cedera parah dan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada 16 Julai. Walaupun dibawa ke hospital, beliau meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kes ini dipercayai ada kaitan dengan insiden buli yang berlarutan selama beberapa bulan, dengan lima remaja telah dituduh membulinya.
Inkues yang sedang berjalan merupakan prosiding mahkamah berasingan bagi menentukan keadaan sebenar di sebalik kematiannya.