PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memulakan prosiding menghina mahkamah setelah meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kes membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
AGC berkata, namun pihaknya akan meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Mohd. Shafie sebelum ini.
Kata AGC, pihaknya memandang serius kenyataan dikeluarkan bekas Ketua Menteri Sabah itu ketika berucap di Majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada Sabtu lalu.
“Kenyataan dikeluarkan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Sehubungan itu, AGC sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan tersebut dan menegaskan jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian itu selesai,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, AGC juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berlangsung.
Semalam, barisan peguam mewakili empat remaja perempuan yang didakwa dalam kes membabitkan Zara Qairina mengkritik kenyataan dikeluarkan Mohd. Shafie dengan menyifatkan tindakan itu mengeksploitasi satu tragedi untuk kepentingan politik.
“Kenyataan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal adalah tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan. Ia menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami.
“Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang,”ujar peguam-peguam terbabit dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.
Peguam-peguam terbabit ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan.
Barisan peguam itu merujuk kepada satu video di Facebook menunjukkan Shafie membuat kenyataan berunsur hasutan mengenai prosiding inkues yang sedang berlangsung berhubung kematian Zara Qairina.
“Mengeksploitasi satu tragedi untuk kepentingan politik adalah tahap paling rendah mana-mana ahli politik boleh pergi. Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik.
“Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya.
“Tindakan sedemikian adalah satu pengkhianatan terhad.-UTUSAN