Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Samad menuntut pempengaruh Rafidah Ibrahim membuat permohonan maaf secara bertulis dan menarik balik tuduhan yang didakwa memfitnah berkait isu projek pembangunan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.
Khalid yang merupakan bekas menteri Wilayah Persekutuan turut menuntut ganti rugi berjumlah RM300,000 sebagai penyelesaian terhadap penyiaran pernyataan-pernyataan yang didakwa fitnah yang disiarkan di media sosial.
Dia berkata surat tuntutan (LOD) telah diserahkan kepada Faridah melalui alamat rumah sewanya.
“Saya saman dia bukan kerana dia nak perjuangkan hak rakyat, tetapi kerana dia fitnah saya dengan tuduhan-tuduhan yang tak ada kena mengena pun dengan isu yang sedang dibahaskan, seperti soal pampasan atau status tanah itu.
“Tak tahu macam mana dia melencong terus kepada tuduhan bahawa saya nak mansuhkan (status) rezab Melayu di seluruh kawasan Kampung Baru, bukan sekadar Kampung Sungai Baru.
“Ia merupakan satu keterlanjuran dan saya buat keputusan untuk saman dia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Khalid menyatakan hasratnya untuk memfailkan tuntutan pada 17 April lalu, dengan berkata dia terpaksa mengambil tindakan itu kerana dakwaan yang dibuat Rafidah merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
Dia merujuk dakwaan Rafidah sebelum ini bahawa dia berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta mahu menghapuskan tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.
Bagaimanapun Rafidah menyifatkan kelantangannya berhubung isu tersebut kerana ingin mempertahankan haknya dan mereka yang senasib, namun malang apabila ada pihak yang cuba mendiamkannya.
“Saya tegaskan apa yang saya pertahankan ini adalah kampung saya sendiri, iaitu saya sebagai penduduk dan saya sebagai rakyat,” katanya.
Sementara itu dalam LOD yang disediakan Tetuan Hisham Fauzi & Associates itu, Rafidah diberi tempoh selama 14 hari untuk memberi respons.
“Berdasarkan peruntukan perundangan terkini, pihak puan (Rafidah) selaku pemilik akaun TikTok tersebut adalah bertanggungjawab terhadap komen-komen negatif daripada pengguna lain terhadap anak guam kami kerana pihak puan membuka ruang atau platform yang mengundang komen-komen negatif.
“Kami diarahkan oleh anak guam bahawa pihak puan telah menyebabkan berita tidak benar dan bersifat fitnah tersebut dengan tersebarnya pernyataan yang dimuat naik di akaun TikTok itu tersebut ke seluruh Malaysia khasnya yang boleh diakses tanpa sebarang sekatan,” menurut LOD tersebut.