Malaysia Oversight

Tang Jie-Ee Wei enggan dibuai dengan gelaran

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Tang Jie-Ee Wei enggan dibuai dengan gelaran


PETALING JAYA: Gelaran dunia yang disandang beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak menjadikan mereka mendabik dada dan memandang mudah cabaran yang hadir daripada mana-mana pencabar sekalipun.

Ee Wei berkata, Kejohanan Dunia telahpun berlalu dan setiap kali menyertai pertandingan selepas itu, mereka tidak membawa gelaran yang disandang.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, masa lalu sudah pun berlalu dan kami tidak pernah fikir membawa gelaran dunia apabila memasuki pertandingan.

“Masih banyak perkara yang perlu kami pelajari daripada pemain-pemain handalan dunia yang lain dan cuba memberikan tentangan, tidak fikir langsung mengenai status sebagai juara dunia,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters di Shenzhen, tamat, semalam.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Shenzhen Arena itu, Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking No. 3 dunia tewas di tangan pasangan No. 4 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 8-21, 17-21 dalam masa 35 minit.

Ketika ditanya tentang kecederaan belakang yang dialami mungkin menjadi punca kekalahan kepada beregu Thailand, menurut Ee Wei, masalah itu bukan alasan yang menjadi penyebab mereka tewas, cuma percaturan taktikal yang telah diatur serba tidak menjadi.

Sementara itu, Tang Jie pula memuji persembahan dipamerkan Dechapol dan Supissara yang bermain dengan cukup cemerlang, tanpa memberi mereka ruang untuk bangkit.

“Mereka bermula dengan sangat cemerlang pada set pertama, kami cuba untuk
menyesuaikan diri dengan lebih cepat selepas set pertama, tetapi tidak sempat berbuat demikian,” katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia dan Ee Wei berusaha keras untuk menyukarkan gandingan Thailand itu daripada terus mengutip mata, tetapi strategi serta pergerakan lawan begitu baik.

“Saya rasa kami akan menganalisis video perlawanan kami selepas ini dan cuba untuk menyesuaikan diri secepat mungkin sebelum kejohanan akan datang,” katanya.

Sebagai naib juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$43,750 (RM184,056) beserta pingat perak dan selepas ini, mereka dijangka menyertai Terbuka Korea yang bermula, esok.-UTUSAN





Source link