Malaysia Oversight

Grit Shot cecah jualan RM10,000 pada bulan pertama

By Utusan in September 22, 2025 – Reading time 3 minute
Grit Shot cecah jualan RM10,000 pada bulan pertama


BERPENGALAMAN lebih 20 tahun dalam industri kopi selain bergiat aktif dengan komuniti sukan mencetuskan idea kepada dua anak muda menghasilkan sendiri gel tenaga untuk kegunaan atlet.

Ibrahim Adham dan Haikal Hashron mengasaskan syarikat Roots of Seven Group Sdn. Bhd. (Roots of Seven Group) yang mengeluarkan gel tenaga dinamakan Grit Shot yang merupakan gel tenaga diperbuat daripada ekstrak kopi arabica premium yang pertama di negara ini. 

Haikal yang juga Pengarah Jualan dan Pembangunan Perniagaan syarikat memberitahu, perkataan ‘Grit’ pada produk keluaran mereka bermaksud kecekalan atau istiqamah untuk meneruskan perniagaan tersebut sehingga berjaya.

Tambahnya, maksud ‘Shot’ pula merujuk kepada satu bungkusan Grit Shot seberat 30 mililiter (ml) adalah bersamaan seteguk espresso.

“Kuantiti seteguk espreso ini sudah cukup untuk memberikan tenaga tambahan kepada atlet,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketika mula diperkenalkan di pasaran pada Julai lalu, sebanyak RM10,000 jumlah jualan berjaya dicapai termasuk minuman pengenalan (signature) berasaskan Grit Shot.

“Kami anggap jumlah ini sebagai pencapaian yang baik berikutan Grit Shot tidak sampai sebulan berada dalam pasaran ketika itu.

“Kami nampak produk ini ada potensi cukup baik. Kami sasarkan jualan sebanyak RM1 juta sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

Grit Shot dijual pada harga RM45 sekotak yang mengandungi tujuh bungkusan di dalamnya. Setiap bungkusan mengandungi 30 ml gel tenaga.

Buat masa ini, Grit Shot boleh dibeli menerusi platform dalam talian Shopee dan TikTok.

Selain itu, Roots of Seven Group menyertai ekspo dan pesta bagi memperkenalkan produk mereka kepada umum. Syarikat berkenaan turut mengadakan kerjasama dengan kafe dan komuniti pelari yang mengadakan acara sukan seperti larian santai sebagai strategi pemasaran. 

Ditanya mengenai perancangan masa depan syarikat, Haikal berkata, mereka berhasrat mempunyai premis tetap selain menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Singapura pada suku pertama tahun depan sekiranya mencapai sasaran jualan.

“Kalau ada peluang, kita juga mahu menyokong atlet-atlet kebangsaan dengan membekalkan Grit Shot untuk membantu mereka meningkatkan prestasi,” jelasnya.

Sementara itu, Ibrahim yang merupakan Pengarah Korporat dan Kewangan syarikat berkata, kebanyakan gel tenaga yang ada dalam pasaran menggunakan perisa buatan buah-buahan sebagai asas.

Katanya, selain kopi sebagai asas, ada juga guarana sebagai tambahan kafein dalam kandungan Grit Shot.

“Kafein digunakan untuk merangsang tenaga atlet dengan cepat. Kalau makan sebelum atau semasa berlari, ia memberikan tenaga segera untuk meneruskan larian serta mengurangkan rasa penat.”

“Ramai komuniti pelari berasa tertarik apabila mendapati produk kita diekstrak daripada kopi arabica,” ujarnya.

Tambahnya, selain itu terdapat ramuan L-citrulline dalam kandungan Grit Shot untuk mengekalkan daya tahan tenaga dan L-theanine sebagai bahan memberikan fokus serta ketahanan mental kepada atlet bagi mengekalkan prestasi.

“Dalam sukan lasak seperti maraton, larian denai dan berbasikal, bukan saja fizikal malah mental atlet juga penting.”

“Kalau mental memberi isyarat atlet tidak mampu teruskan, maka dia akan mengalah meskipun badannya masih bertenaga,” katanya. – UTUSAN





Source link