KUALA LUMPUR: Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS) menekankan kepentingan penglibatan pelbagai pihak selain kerajaan termasuk kumpulan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi media dalam memperkukuh hala tuju masyarakat dan kerjasama negara-negara Selatan Global.
Pengerusi badan pemikir itu Lee Chean Chung berkata kerjasama yang lebih luas dapat memperkukuh penyampaian maklumat serta menyumbang kepada pembentukan perspektif baharu yang mampu mempengaruhi dasar dan pemikiran masyarakat di peringkat nasional dan serantau.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan harus bertindak sebagai penyelaras dengan memperkasakan kumpulan pemikir serta menggalakkan media membuat liputan dan laporan yang lebih komprehensif.
Lee turut menegaskan bahawa kesepaduan suara ini dapat merangsang pembangunan ekonomi negara-negara Selatan Global dengan asas kerjasama berlandaskan saling menghormati serta konsensus bersama.
Beliau menekankan bahawa ASEAN memainkan peranan penting dalam konteks ini dengan forum yang dianjurkan di Kunming mencerminkan usaha mengeratkan kerjasama serantau.
Wilayah Yunan di barat daya China bersempadan dengan tiga negara ASEAN iaitu Laos, Myanmar dan Vietnam.
CROSS merupakan sebuah kumpulan pemikir bebas Malaysia yang ditubuhkan pada 2022 yang menumpukan kajian dan khidmat nasihat berkaitan isu organisasi, dasar ekonomi serta pembangunan sosial yang mampan.
Badan ini berperanan sebagai jambatan antara kerajaan, akademia dan industri di samping mempromosikan dialog serantau menerusi forum dan penerbitan kajian.
Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wartawan, ahli akademik, wakil kerajaan dan pemimpin perniagaan dari 110 negara serta pertubuhan antarabangsa dan serantau menghadiri Forum Media dan Kumpulan Pemikir Selatan Global 2025 di Kunming.
Forum itu bertujuan mengubah peranan ekonomi Selatan Global yang merangkumi 40% Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 80% pertumbuhan global kepada suara yang lebih berpengaruh dalam dialog dan komunikasi antarabangsa.
Istilah Selatan Global merujuk kepada kumpulan negara-negara sedang membangun di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Oceania yang merupakan konsep geopolitik menggambarkan suara kolektif negara membangun dalam menuntut keadilan serta keseimbangan dalam sistem antarabangsa. – Bernama