Kejayaan demi kejayaan diraih penyanyi berbakat besar, Mimi Fly sejak tampil dengan aura dan energi baharu menerusi lagu Angkat dan Serumpun.
Malah, siapa sangka, lagu Angkat juga membawa tuah buatnya apabila memenangi anugerah Lagu Pop Elektronik atau Dance Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung pada 13 September lalu.
Ia sekali gus menjadi bukti bahawa langkah Mimi setelah 17 tahun berkecimpung dalam industri seni ini, tidak salah.
Tetapi, walaupun sering dilihat ceria dan penuh tenaga di atas pentas, hakikatnya perjalanan seninya tidak mudah.
Malah sebelum ini, Mimi juga pernah mengatakan bahawa dia sebenarnya lebih selesa duduk di belakang tabir atau di studio berbanding menjadi muka hadapan.
Tidak cuma itu, penangan lagu-lagu hitsnya juga membuatkan dirinya seakan tidak cukup tangan untuk mengendalikan semua perkara dalam satu-satu masa, dan hal itu tidak mengecualikannya daripada berasa tertekan.
Berikut luahan Mimi ketika ditemu bual Pancaindera baru-baru ini.
J:Ramai melihat kerjaya Mimi berkembang, tetapi apa sebenarnya yang terjadi di sebalik tabir?
M:Ada banyak perkara orang tidak nampak. Kadang-kadang saya terfikir, alangkah baiknya kalau saya hanya fokus bekerja di studio tanpa perlu ke depan. Tetapi itu mustahil sebab orang tetap mahu saya berada di atas pentas. Kehidupan saya berubah 180 darjah sejak lagu Angkat diperkenalkan. Saya tahu ada harapan besar terhadap diri saya sementelah sejak usia 22 tahun saya sudah memilih jalan ini. Jadi, inilah kehidupan yang saya perlu teruskan.
J: Adakah pernah sampai ke tahap rasa mahu berhenti meskipun nama sedang berada di kemuncak kini?
M: Saya tidak malu untuk mengaku, ada masa saya rasa mahu putus asa. Malah saya pernah menangis kerana terlalu penat mengadakan persembahan pentas tidak berhenti-henti. Kadang-kadang saya terpaksa tampil back-to-back tanpa sempat berehat. Tubuh dan mental saya rasa terbeban. Tetapi itu bukan bermaksud saya tidak bersyukur, Ia hanyalah emosi seorang manusia biasa yang terlalu penat.
J:Jadi, kenapa mahu teruskan juga?
M:Ini adalah jalan yang saya sendiri pilih. Ia adalah minat saya. Walaupun ada ketika rasa hilang arah, saya tetap percaya setiap peluang adalah rezeki. Jadi, saya perlu hargai dan manfaatkan sebaik mungkin.
Bagaimana tekanan itu memberi kesan pada kehidupan seharian Mimi?
Tekanan itu kadang-kadang menyebabkan anxiety, cemas, gementar, dan hilang fokus. Ada masa badan saya jadi tegang urat, suara rasa terjejas kerana terlalu letih. Pernah buat saya rasa lost. Ketika itu saya hanya mahu bersendirian, ambil masa untuk diri sendiri, jauh sekejap daripada spotlight.
J:Tetapi ini bukanlah satu rungutan bukan?
M: Saya hendak tegaskan sekali lagi, ini bukan rungutan. Saya sangat bersyukur dengan setiap rezeki. Saya hanya mahu jujur, menjadi artis bukanlah semata-mata glamor seperti orang nampak. Di sebalik persembahan indah, ada kerja keras, ada air mata, ada penat yang orang lain mungkin tidak faham.
J: bergerak sebagai artis independent memberi cabaran tambahan?
M: Bila kita tidak berada di bawah label besar, kita bergerak sendiri dengan team kecil. Semua tanggungjawab banyak bergantung pada diri kita. Tapi saya bersyukur kerana ada pasukan yang ikhlas dan sangat menyokong dan jadi tulang belakang saya. Tanpa mereka mungkin saya sudah lama goyah. Saya juga mahu peminat tahu, walaupun saya pernah menangis kerana penat, itu bukan tanda saya lemah. Itu realiti kehidupan seorang artis. Saya harap peminat terus mendoakan saya, agar saya kuat dari segi fizikal, mental, dan spiritual.