SEPERTI yang Poklip jangkakan, selepas mana-mana anugerah berlangsung paling tidak dua minggu segala pahat riuh berbunyi. Rumah Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 sudah siap, tapi masing-masing seperti juri profesional.
Poklip faham jika ada ketidakpuasan hati dalam kalangan peminat-peminat artis tertentu. Tidak mengapa jika anda mahu meluahkan kekecewaan. Tetapi ketahuilah, kalah menang itu ada hidup.
Keputusan juga sudah dimuktamadkan. Dan kita juga sedia maklum, AIM bukan calang-calang anugerah. Mungkin kita boleh setarafkan dengan Grammys, dalam skala industri muzik tempatan.
Maka, semuanya dilakukan secara profesional. Cuma ada beberapa perkara yang boleh Poklip kepilkan di sini yang menjadi perdebatan, pertelingkahan dan mungkin juga menimbulkan kekeliruan. Ayuh kita bedah.
Hambar?
Pertama sekali, yang Poklip perasan berlegar di media sosial adalah bagaimana segelintir peminat muzik tempatan melabelkan acara berprestij itu sebagai hambar. Baik dari segi susunan persembahan, pemilihan penyampai dan juga lokasi.
Poklip tidak pasti mengapa Arena Of Stars dipilih tetapi pastinya, lokasi itu sama prestijnya dengan anugerah yang berlangsung. Malah, andai lokasi dijadikan alasan untuk kurangnya rakan artis yang hadir, itu tidak adil.
Hadir atau tidak, adalah pilihan. Poklip pun pelik, ramai artis bertaraf A tidak memunculkan diri.
Adakah kerana tiada jemputan atau nama tidak tersenarai sebagai calon? Takkan tunggu tercalon baru hadir tanda sokongan kan?
Pemilihan persembahan, Poklip fikir mungkin penganjur mempunyai alasan memilih dan menyusun penyanyi terlibat. Mungkin peminat mengharapkan persembahan bertaraf Anugerah Juara Lagu?
Mungkin penganjur perlu step up the game.
Old Love vs Masing-masing
Satu lagi isu adalah komposer dan penyanyi lagu Old Love, Yuji ‘mempertikai’ pemilihan Masing Masing nyanyian Ernie Zakri ft. Ade Govinda sebagai pemenang kategori Lagu Paling Tinggi Distrim.
Yuji menjelaskan lagu ciptaan dan nyanyiannya meraih lebih 360 juta strim di Spotify sepatutnya layak dinobatkan sebagai pemenang, namun kemenangan berpihak kepada lagu yang hanya mencatat sekitar 12 juta strim.
Tetapi difahamkan, Masing Masing berjaya mencatat lebih 500 juta stream di seluruh platform penstriman.
Malah lagu tersebut juga diiktiraf RIM sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama di Carta RIM selama 27 minggu. Kita tunggu kenyataan rasmi Rim okay?
‘Terima kasih Mokhzani’
Isu ini tidak sepatutnya menjadi bualan atau tercetus kerana melibatkan integriti serta profesionalism maestro muzik tanah air, Datuk Mokhzani Ismail. Ini bagi Poklip satu tuduhan yang ‘kejam’.
Kemenangan berganda untuk Aina Abdul menerusi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Terbaik menerusi Jangan Mati Rasa Itu seharusnya dirayakan dengan semangat muzik.
Namun entah dari siapa dan bagaimana, ada pihak mendakwa kemenangan itu adalah kerana penglibatan Mokhzani sebagai Ketua Juri AIM24. Sebab itu Poklip menggunakan perkataan ‘kejam’.
Adik kakak abang semua, ada lebih 100 juri berpengalaman menilai dengan teliti dan integriti setiap karya yang dipertandingkan. Mana mungkin akan ada tangan ghaib kan, anak emas? Tidak kan? Ini AIM ya.
Cinta Setandan Pisang vs Magis
Satu lagi isu berbangkit adalah bagaimana lagu berdialek Kelantan, Cinta Setandan Pisang ciptaan Eddie Hamid mengungguli kategori Lagu Etnik Terbaik. Kenapa jadi isu pula kan?
Ada pihak yang kurang berpuas hati dan menganggap lagu tersebut ‘lemah’ jika mahu dibandingkan dengan calon lain Menyantun Kasih dendangan Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Pastinya yang menjadi topik perdebatan adalah bagaimana Cinta Setandan Pisang mengalahkan lagu Magis nyanyian Biduanita Negara kita. Sekali lagi Poklip cakap, keputusan juri adalah profesional dan berintegriti.
Mungkin lagu nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo itu mempunyai kekuatan dari segi kompisisi serta pemilihan lirik yang berbeza Jadi bey soba bey!