Keluar Sekejap merupakan salah satu podsiar popular yang membincangkan pelbagai isu dan hal semasa, diterajui oleh bekas menteri, Khairy Jamaluddin dan juga Shahril Hamdan. Podsiar yang pertama telah diterbitkan pada 1 Mac 2023 yang lepas, dan kini ia telah beroperasi untuk lebih 2 tahun secara konsisten.
Sejak diperkenalkan, Keluar Sekejap telah memperluaskan jenama mereka dalam meliputi beberapa topik berbeza, disamping turut telah membentuk sebuah jenama media digital baharu hasil kerjasama dengan pihak Catcha Digital, dinamakan KS Lagi. Sebelum ini juga, pihak Keluar Sekejap telah memulakan proses pengambil-alihan podsiar memfokuskan sukan, iaitu Jugador TV. Namun, status semasa untuknya tidak diketahui ketika artikel ini ditulis.
Kini, terbaru, Keluar Sekejap turut menambah pemegang saham baharu, iaitu Capitha. Jumlah pelaburan yang diterima oleh Keluar Sekejap tidak dinyatakan buat masa ini, namun daripada semakan, ia dilihat Capitha mengambil pegangan sebanyak 20% pada syarikat Keluar Sekejap Sdn Bhd.

Capitha dimiliki bersama oleh Khailee Ng, yang turut menerajui firma pelaburan 500 Global di rantau ini, dan sebelum ini telah mengasaskan beberapa jenama, termasuk Groupsmore (yang diambil-alih oleh Groupon) dan juga SAYS yang diambil-alih oleh Media Prima.
Keluar Sekejap sendiri sepanjang 2024 yang lepas telah mencatatkan sebanyak 200 juta jumlah tontonan sepanjang tahun, dan menariknya untuk tahun ini sahaja, Khairy Jamaluddin berkongsi mengatakan podsiar berkenaan telah mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 270 juta tontonan meliputi pelbagai platform yang menyiarkan podsiar berkenaan. Podsiar Keluar Sekejap menjana pendapatan utama melalui pengiklanan dan tajaan siaran episod podsiar.

Bergerak kehadapan sendiri, Khairy berkongsi menyasarkan untuk terus memperluaskan mesta Keluar Sekejap meliputi pelbagai lagi topik. Salah satu siri yang menjadi inspirasi adalah siri The Rest is Politics yang berpusat di UK, dimana ia turut mempunyai beberapa jenama selari, seperti The Rest is History memfokuskan sejarah, dan The Rest is Money memfokuskan kewangan. Podsiar Keluar Sekejap juga telah mula bereksperimen dengan pelbagai hos baharu sebagai ganti kepada dua hos utama, dalam usaha untuk terus memperluaskan jenama berkenaan, dan tidak terlalu bergantung kepada hos utama KJ & SH.
Pada acara KL PodFest yang telah diadakan pada penghujung minggu juga, sejumlah perkara dan perkembangan menarik dikongsikan berkenaan dengan arena podsiar di Malaysia, termasuk data memperlihatkan 40% rakyat Malaysia mendengar podsiar, dan 60% daripadanya meminati ia dalam format video melalui YouTube.