Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat (gambar judul) mencadangkan supaya gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama lelaki dewasa yang menjadi pelaku.
Dia berhujah agar cadangannya dipertimbangkan dengan menyatakan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka berdasarkan hasil siasatan.
“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
“Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” lapor Sinar Harian memetik kenyataannya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Yusoff mengulas mengenai peningkatan kes rogol dan jenayah seksual lain di negeri tersebut.

Tahun lalu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan (gambar atas) berkata peningkatan kes rogol statutori dipercayai berpunca daripada kegiatan grooming (pengantunan seksual) di media sosial.
Pengantunan seksual kanak-kanak berlaku apabila seorang dewasa memperoleh kepercayaan kanak-kanak yang terdedah bagi membuka ruang kepada hubungan seksual.
Siti dipetik Bernama berkata majoriti mangsa rogol statutori memaklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa mereka mengenali pelaku melalui media sosial sebelum berjumpa secara bersemuka.
“Sebenarnya kes suka sama suka ini, dia memang bermula dengan grooming sebab grooming ini…ia satu proses di mana dia mungkin cepat dan mungkin makan masa.

“Ia sebuah proses di mana kanak-kanak itu daripada tak tahu tentang satu perlakuan seksual itu…dia dipupuk rasa suka, rasa seronok hingga dia ingin explore (meneroka),” katanya.
“Sebahagian besar gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol ini memberitahu pegawai penyiasat mereka mengenali individu yang merogol melalui laman sembang dan media sosial terlebih dahulu sebelum berjumpa.
“Ini menunjukkan gadis ini telah melalui fasa grooming terlebih dahulu dengan hantaran mesej yang bermula dengan ‘hai’ dan kata-kata pujian yang lain, kemudian membawa kepada penghantaran gambar bogel oleh gadis berkenaan, dan ke fasa berjumpa yang kemudian membawa kepada kejadian rogol atau rogol secara berkumpulan,” kata Siti lagi.

Sementara itu, Yusoff berkata dia akan membincangkan cadangan itu bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan serta pihak berkaitan untuk memastikan tindakan lebih adil dapat diambil.
“Kita bukan nak melakukan pendakwaan sewenang-wenangnya, sebaliknya mahu mencari jalan pencegahan yang lebih berkesan.
“Jika undang-undang membenarkan tindakan boleh dikenakan ke atas kedua-dua pihak, kes-kes seperti ini dapat dibendung,” katanya.
Pada masa ini, katanya, kesalahan seksual bawah umur disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan gadis biasanya dilindungi sebagai mangsa.
Tegasnya, cadangan itu bertujuan memberikan mesej jelas kepada remaja agar mereka tidak terjebak dalam perbuatan tersebut.