Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Pengerusinya, Sanita Yunus berkata perkara itu terbukti melalui perjanjian jual beli antara pemilik rumah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.
Katanya, rumah yang dibeli mereka juga berstatus pajakan selama 99 tahun dan bukannya hak milik kekal.
“Kami ingin menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru adalah tanah pusaka sejak generasi terdahulu dan usaha untuk memajukan kawasan ini digerakkan oleh penduduk sendiri dengan kerjasama pemaju yang dipilih secara telus.

“Tanah kami bukan Tanah Rizab Melayu dan ia terbukti melalui perjanjian jual beli dengan PKNS sejak 1971 dengan pajakan selama tempoh 99 tahun,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri lebih 50 penduduk yang bersetuju dengan projek pembangunan itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Sanita berkata demikian sebagai mengulas kenyataan-kenyataan di media sosial yang mendakwa tanah di Kampung Sungai Baru berstatus Tanah Rizab Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS).
Bantahan dan operasi pengusiran
Isu tanah di kampung itu menjadi perhatian selepas bantahan penduduk yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula.

Ketegangan meningkat apabila operasi pengosongan dijalankan buat kali kedua sejak Julai, bagi mengusir penduduk mengikut perintah mahkamah.
Arahan itu dikeluarkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula oleh KL City Gateway Sdn Bhd yang terletak berhampiran Kampung Baru.
Pemaju bukan dari Singapura
Majoriti penduduk bagaimanapun telah berpindah selepas menerima tawaran pampasan daripada syarikat tersebut.

Pada sidang media sama, Sanita turut mendedahkan terdapat keluarga bukan Melayu yang juga pemilik rumah di kawasan tersebut.
“Tetapi mereka tidak dapat hadir hari ini kerana berada di luar negara.
“Jadi tak patut nak keluarkan kenyataan-kenyataan rasis,” katanya.
Sanita juga menafikan dakwaan pemaju projek berkenaan berasal dari Singapura.
“Sebaliknya, pemilik syarikat berkenaan merupakan orang dari Klang, Selangor.
“Jadi tidak betul sama sekali apabila dikatakan pemaju orang Singapura, boleh semak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” jelasnya lagi.






