Malaysia Oversight

Denda media RM100,000: Kerajaan boleh hilang sokongan

By MkiniBM in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
Denda media RM100,000: Kerajaan boleh hilang sokongan


A Kadir Jasin memberi amaran betapa Madani berisiko kehilangan sokongan susulan tindakan keras Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas Sin Chew Media Corp Bhd (Sin Chew) dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf).

Malah kata Tokoh Wartawan Negara itu, denda RM100,000 terhadap dua syarikat media terbabit tidak mencerminkan semangat reformasi dibawa Madani.

“Amaran keras sudah cukup. Mereka pun awal-awal lagi mohon maaf dan buat pembetulan. Menyalahkan media tidak menunjukkan Madani yakin dan bertoleransi,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Tambah A Kadir pihak berkuasa seperti MCMC, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara boleh bertindak sebagai penyiasat, pendakwa dan penghukum.

“Tetapi yang akan kehilangan sokongan ialah kerajaan Madani,” katanya yang membuat perkongsian itu dibuat selepas menghubungi seorang menteri menerusi WhatsApp berhubung perkara itu.

Terdahulu MCMC mengumumkan denda RM100,000 dikenakan terhadap Sin Chew – yang menjadi penerbit akhbar Sin Chew Daily – dan Karangkraf (Sinar Harian) selepas mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara.

Kedua-dua penerbit terbabit sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan didakwa di bawah Seksyen 243 akta sama.

Dalam satu kenyataan Jumaat lalu, MCMC berkata siasatan telah dilancarkan selepas Sin Chew Daily didakwa memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman web mereka.

Secara berasingan, Sinar Harian didenda kerana infografik yang secara salah menyatakan bahawa Ketua Polis Negara Khalid Ismail adalah ahli .

A Kadir berkata, berbeza dengan sebelum ini, kerajaan Madani memperagakan diri sebagai kerajaan reformis, demokratik dan toleran.

“Berkenaan WhatsApp saya kepada Menteri itu, ia tidak mendapat apa-apa respons. Jawab salam pun tidak.

“Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya telah bagi maklum balas sebagai seorang kawan. Saya faham, bagi seorang menteri, lebih baik hilang kawan daripada hilang jawatan,” katanya lagi.



Source link