SETIAP tendangan dan tangkisan juara dunia silat, Siti Shazwana Ajak, membawa bersama kisah luka, pengorbanan dan semangat seorang anak yang tidak pernah menyerah.
Nama iti Shazwana kini harum di persada dunia selepas muncul juara dunia dalam kategori Kelas D Putri pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 di Abu Dhabi, Disember lalu.
Pesilat berusia 30 tahun itu mula jatuh cinta dengan seni bela diri ini pada 2011 ketika masih menuntut di Labuan di bawah bimbingan jurulatih Hamidah Mulok.
“Coach Hamidah yang mula-mula percaya pada saya, dia yang ajar asas silat dan dedahkan saya dengan pertandingan,” kata iti Shazwana kepada Mingguan Malaysia.
Walaupun pernah aktif dalam gimnastik, hoki, ragbi, futsal dan badminton, jiwa lasak Siti Shazwana hanya benar-benar teruji dalam silat.
Baginya, silat adalah sukan individu yang menuntut pengorbanan fizikal dan mental yang besar serta keazaman tanpa henti.
“Silat bagi saya lain… ia cabaran mental dan fizikal, sesuai dengan jiwa fighter saya,” ujarnya.

Idolanya pula ialah bekas juara dunia yang kini jurulatih negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, yang banyak membentuk karakternya dalam disiplin dan keazaman.
Siti Shazwana juga dibesarkan dalam keluarga besar dengan mempunyai lima adik-beradik dan beliau adalah anak bongsu daripadanya.
Ibu dan adik-beradik adalah penyokong yang sentiasa berada dibelakang Siti Shazwana, mendoakan beliau untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Ibunya selalu kata “jangan takut lawan sahaja, lawan sepenuh hati”..
Setiap kali beliau kalah di peringkat akhir sesuatu kejohanan ibunya selalu berkata “kenapa kalah dah buat latihan kan?” dengan nada sedih.
Keadaan itu sentiasa memotivasi saya untuk terus berjuang sehingga berjaya menjadi Juara Dunia.
Namun semua itu tidak akan berulang lagi kerana ibu Siti Shazwana sudah tiada buat selamanya.
Kehilangan ibu tercinta menjadi tamparan paling hebat dalam hidupnya, malah pernah hampir melemahkan langkahnya.
Namun, tekadnya untuk menghidupkan semangat arwah menjadikan silat bukan sekadar sukan, tetapi warisan jiwa.
“Kalau saya berhenti sekarang, seolah-olah saya menidakkan semua pengorbanan ibu, sebab itu saya teruskan silat demi menghidupkan semangatnya,” ujarnya.
Selain cabaran emosi, beliau juga pernah berdepan kecederaan bahu serius yang hampir menamatkan kariernya.
Walaupun doktor mencadangkan pembedahan, Siti Shazwana nekad untuk bangkit tanpa jalan singkat dan terus bertanding di Kejohanan Dunia.
“Saya pilih untuk bertanding walaupun risiko tinggi, kerana bila kita cintakan sesuatu, kekuatan luar biasa akan datang,” katanya penuh yakin.
Kini, sambil bergelar pelajar PhD, Siti Shazwana terus membuktikan disiplin dan fokus membolehkannya seimbang dalam dua dunia berbeza.
“Saya mahu dikenang bukan hanya sebagai pesilat yang menang pingat, tetapi sebagai wanita yang membuka jalan untuk generasi seterusnya,” katanya.-UTUSAN