JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu jadikan Sabah FC sebagai mangsa ‘lepas geram’ bagi mengubati kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu.
Melihat kepada prestasi semasa kedua-dua pasukan bagi saingan Liga Super musim ini, JDT tampak cemerlang merekodkan kemenangan 100 peratus dalam lima perlawanan.
Sementara itu, The Rhinos di bawah kendalian ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny dilihat masih bergelut apabila gagal meraih sebarang kemenangan dan hanya meraih keputusan seri dalam tiga perlawanan liga.
Pastinya tumpuan terarah kepada Marigny yang mempunyai pengalaman luas dalam Liga Australia mengenai perancangan yang akan apabila berdepan juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, anak buah Xisco Munoz dilihat mampu melebarkan rekod kemenangan Liga Super dan terus gah di puncak liga.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu dijangka akan mempertaruhkan khidmat Jairo Da Silva yang telah mencetak empat gol dalam lima perlawanan bersama Joao Figueiredo yang merekodkan tiga gol dalam saingan Liga Super setakat ini.
“Pada perlawanan menentang Buriram, JDT berjaya melakukan banyak perkara positif termasuk menguasai permainan dan menyerang. Namun, kita sedikit leka dan telah memberi ruang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol.
“Situasi seperti ini boleh mengubah rentak perlawanan. Justeru, kita perlu belajar daripada kesilapan ini serta memperbaiki kelemahan dan cuba memberikan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Menurut Munoz, pemain diingatkan agar tidak terlalu berpuas hati dengan kemenangan 100 peratus itu sebaliknya berusaha lebih gigih bagi meningkatkan prestasi pasukan.
“Tidak dinafikan masih ada ruang yang boleh ditambah baik dari segi situasi bola mati, barisan pertahanan serta sentuhan penyudah yang jitu. Saya percaya JDT mampu jadi pasukan yang lebih baik,” ujarnya.-UTUSAN