Malaysia Oversight

Pernah saya mahu hilangkan diri, tinggalkan semua – Sophia Albarakbah

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 4 minute
Pernah saya mahu hilangkan diri, tinggalkan semua - Sophia Albarakbah


“BAGAI embun menyapa pagi”

Itulah gambaran personaliti pelakon jelita, Sophia Albarakbah yang tidak putus-putus diuji dengan pelbagai kontroversi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penat dibelenggu tohmahan serta cacian netizen, Sophia menyifatkan kelemahannya yang mudah simpati dengan seseorang itu menjadi punca dirinya terus dipijak dan ditindas selumatnya.

“Saya mudah kasihankan orang tetapi tindakan itu hanya memakan diri sendiri. Saya selalu berpegang pada prinsip untuk sentiasa berbuat baik pada orang tetapi saya yang selalu dipijak.

“Itu kelemahan saya. Saya juga merasakan untuk melupakan sesuatu kisah pahit yang berlaku dalam hidup itu lebih sakit daripada memaafkan. Perkara itu sangat susah untuk dilakukan.

“Saya selalu dihantui rasa takut, kecewa, sedih, keliru dan mahu putus asa. Sampai ada ketika saya tidak tahu mahu buat apa. Saya rasa mahu hilangkan diri tetapi saya ada tanggungjawab yang perlu diteruskan,” katanya kepada Pancaindera.

so1

Tambah aktres itu, prinsipnya sebelum melangkah masuk ke dalam bidang seni hanyalah untuk bekerja dan tidak pernah terfikir untuk mengejar populariti dari sebarang kontroversi.
Namun, Sophia hanya mampu berharap agar episod hitam ini tidak akan diungkit lagi suatu hari nanti selain mahu menjalani kehidupan dengan positif.

“Saya sukakan kehidupan yang tenang. Masa masuk dalam industri seni pun saya tidak mahu mengejar populariti. Tetapi kini perkara itu yang seolah mengejar saya.

“Saya sukakan kerjaya ini tetapi tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan kekacauan yang sering mengganggu hidup saya kini. Kalau boleh saya tidak mahu tambah drama dalam kehidupan.

“Saya harap suatu hari nanti saya dapat keluar daripada drama ini dan menjalani kehidupan sebagai pelakon dengan tenang,” luahnya.

Bertahan Kerana Sokongan

Tidak menjangka kontroversi lama kembali menjadi bualan hangat hanya kerana tindakan ‘kurang profesional’ seorang selebriti di sebuah pentas anugerah, Sophia mengakui dirinya kini kembali berada di titik paling rendah dalam hidupnya.

Bahkan, pelakon drama Lelaki Itu juga mengakui keberadaannya kini dalam industri hiburan tanah air masih teguh kerana sokongan positif beberapa pihak yang mahu melihat dirinya terus berjaya.

“Saya pernah terfikir untuk berhenti menjadi seorang pelakon. Tetapi saya bertahan kerana masih ramai yang sokong saya dalam diam.

“Satu pesanan daripada pengurus saya ialah hanya orang yang terkenal sahaja diuji seberat ini. Saya percaya ujian inilah yang menjadikan siapa saya pada masa akan datang.

“Jadi, saya hanya mampu terus bersabar dan tidak membalas tindakan mereka yang mahu melihat saya jatuh,” jelasnya.

s0 3

Tidak adil, juga merupakan definisi tepat untuk pelakon itu merungkai segala kepahitan yang sedang dilaluinya kini kerana baginya ada saja selebriti lain yang terpalit kontroversi.
Namun, situasi mereka tidak memberikan impak yang besar seperti yang dilaluinya malah, meninggalkan parut baru pada luka yang sama.

“Orang lain pun ada juga buat silap tetapi sekejap sahaja mereka melalui fasa itu. Tapi hanya kerana satu khilaf, perkara itu meninggalkan kesan paling pahit dalam hidup saya.

“Namun, siapa saya untuk menidakkan takdir? Hanya orang yang mengenali saya sahaja yang tahu siapa saya. Saya anggap apa yang terjadi ini untuk mengubah saya menjadi yang terbaik,” katanya lagi.

Bertatih Untuk Bangkit

Percaya setiap badai akan berlalu tepat pada waktunya, Sophia kini masih bertatih mencari cara untuk bangkit dan mengumpul keberanian untuk menepis setiap perkara yang ingin menjatuhkannya.

“Saya masih mencari cara untuk bangkit. Tetapi saya tidak mahu terlalu bersedih dengan paksa diri untuk bangun. Saya masih ada kerjaya yang perlu diberikan perhatian.

“Apa yang saya lakukan adalah terus kekal positif. Dalam masa sama, saya cuba dapatkan sokongan yang terbaik daripada keluarga, pengurus dan mereka yang saya benar-benar percaya.

“Selebihnya saya berserah kepada Ilahi sebab saya tahu hanya Dia yang akan bawa saya keluar dari dugaan ini. Lagipun tiada siapa pun yang boleh bantu saya melainkan Yang Maha Esa,” katanya.

so1 1

Ditanya bagaimana dirinya mampu kekal tenang biarpun lelah melawan kecaman, pelakon filem Abu Si Raksasa itu berterima kasih dengan kedua-dua ibu bapanya kerana mendidiknya dengan nilai yang baik.

“Mungkin personaliti saya sejenis yang tenang. Saya dididik untuk tidak cepat melatah atau melenting apabila diuji. Ibu bapa saya banyak memberi nasihat supaya menjaga tingkah laku.

“Daripada didikan itu jugalah buat saya tampak tenang walaupun dalam hati ini hanya saya tahu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja saya suruh mereka berhenti mencari salah saya.

“Namun, perkara itu tidak akan mengubah apa-apa sebaliknya hanya lebih mengeruhkan keadaan,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Sophia tampil memegang watak utama sebagai Zaara menerusi filem sains fiksyen, Abu Si Raksasa terbitan syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd.

Selain Sophia, filem ‘Kaiju’ (raksasa) pertama yang dihasilkan di Malaysia itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.

Filem yang menggunakan efek Imej Janaan Komputer (CGI) itu sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 11 September lalu.





Source link