Malaysia Oversight

Jefferson-Wooden lakar sejarah emas berganda

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
Jefferson-Wooden lakar sejarah emas berganda


TOKYO: Melissa Jefferson-Wooden mencipta sejarah di Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun apabila menjadi wanita Amerika Syarikat (AS) pertama memenangi acara 100 dan 200 meter (m) pada edisi sama.

Atlet berusia 24 tahun itu menjuarai acara 200 meter dengan catatan 21.68 saat (s), rekod terpantas dunia tahun ini dan pada Ahad lalu dia merangkul emas 100m dengan masa 10.61s iaitu catatan terpantas dalam sejarah kejohanan.

Melissa sebelum ini turut meraih emas dalam acara 4x100m berganti-ganti di Sukan Olimpik Paris 2024 serta gangsa dalam acara 100m.

Kali terakhir seorang atlet wanita menyapu bersih emas 100m dan 200m di kejohanan dunia ialah Shelly-Ann Fraser-Price dari Jamaica pada 2013, manakala wanita AS terakhir menang acara 200m ialah Allyson Felix pada 2009.

“Dapat memenangi kedua-dua acara ini adalah sesuatu yang luar biasa. Orang terakhir yang melakukannya adalah Shelly-Ann dan itu sangat bermakna.

“Tidak ramai wanita yang memenangi acara berganda sekarang, jadi untuk saya datang ke sini, gandakan acara dan menang dua pingat emas memang sesuatu yang besar,” kata Jefferson-Wooden.

Bagi acara lelaki, Noah Lyles dari AS muncul juara 200 meter dengan catatan 19.52s menewaskan rakan senegara, Kenny Bednarek, manakala Bryan Levell dari Jamaica di tempat ketiga.

Kejayaan itu menyaksikan Lyles menyamai rekod legenda Usain Bolt dengan empat gelaran dunia dalam acara 200m.

“Saya masih ingat kali terakhir saya datang ke Tokyo, dan… ya Tuhan, tempat duduk semua kosong. Saya sedang mengalami kemurungan ketika itu dan saya tidak dapat menunjukkan prestasi seperti yang saya inginkan.

“Saya telah pergi ke dua Olimpik dan kedua-duanya tidak berjalan seperti yang dirancang, jadi strategi kali ini adalah untuk memberikan segalanya. Saya dan ahli terapi saya banyak berbincang tentang betapa pentingnya untuk ‘padamkan semua itu dari fikiran’.

“Rujukan yang kami gunakan adalah ‘Terjun dari kapal terbang’ Sama ada anda lompat atau tidak, kalau anda tak lompat, anda takkan menang perlumbaan,” katanya.- AGENSI.





Source link