Malaysia Oversight

Kebocoran paip gas di Kerteh terkawal, tak jejas kesihatan

By MkiniBM in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan insiden kebocoran paip gas Petronas Gas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh, Terengganu terkawal dan tidak menjejaskan kesihatan orang awam.

Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi mengawal insiden itu termasuk penutupan laluan awam ke kawasan berkenaan, selain menghentikan semua kerja pembinaan bagi mengelakkan sebarang percikan api.

“Hanya Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM dibenarkan berada dalam zon merah insiden manakala semua responden lain yang masuk ke kawasan itu diingatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan percikan api,” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, semalam.

95a325663ec67704e97d6242db5bec8c
Nor Hisham Mohammad

Nor Hisham berkata JBPM bersama pihak Petronas kini memberi tumpuan kepada usaha meleraikan butana dalam udara (awan gas) yang terbentuk menggunakan kaedah semburan air halus untuk membolehkan ia dicairkan dan dibiarkan mengalir.

Dia berkata sebanyak 10 anggota pasukan Hazmat ditempatkan di lokasi bagi mengenal pasti kawasan berbahaya untuk memastikan operasi berjalan lancar. 

“Insya-Allah, jika tiada halangan pada malam ini (malam tadi), kami akan mula masuk ke kawasan untuk melaksanakan proses pencairan pada radius 500 meter supaya kami dapat bergerak lebih dekat.

“Ini bagi membolehkan proses pembersihan serta mengeluarkan keseluruhan gas butana dalam paip dapat dilaksanakan sebelum tindakan lanjut oleh pihak operator iaitu Petronas,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham menegaskan insiden berkenaan tidak memberi kesan kesihatan kepada penduduk setempat kerana jaraknya jauh daripada kawasan awam, namun gas butana amat mudah terbakar sekiranya bercampur dengan udara dalam kepekatan tertentu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di Tapak ECRL, Seksyen 5, Kerteh pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas butana dalam bentuk gas mudah terbakar.

Dia berkata lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

-Bernama



Source link