Kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68 menunjukkan semangat patriotik dapat diterapkan dalam kalangan semua generasi rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, MJ Agro Tour yang menyelaraskan program lawatan ke Kebun Jambu Atuk Janis di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Johor mengambil peluang mengadakan sambutan bulan kemerdekaan bersama pengunjung.
Pengurusnya, Mohamad Farhan Mohd Janis, 36, berkata sepanjang bulan kemerdekaan ini pihaknya menerima beberapa kunjungan pelawat daripada kanak-kanak sekolah khususnya Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan prasekolah.
Katanya, lawatan ke Kebun Jambu Atuk Janis mendapat sambutan daripada kanak-kanak sekolah kerana dalam pakej yang disediakan, mereka dapat merasai sendiri pengalaman mengenali pokok jambu dan memetik buah jambu di ladang.
“Kami sediakan pakej ini untuk memberi peluang kepada kanak-kanak merasai sendiri memetik buah jambu jenis Lohan di kebun menepati tema kami, ‘Mesra Bersama Alam, Nikmati Keseronokan’.
“Selain itu, lebih menyeronokkan, selepas memetik buah jambu, mereka berpeluang pula menaiki ‘Kete Tarik’ yang ditarik menggunakan ATV dan tram mengeliling ladang jambu dan kandang lembu,” katanya ketika ditemui di Kebun Jambu Atuk Janis, Tangkak baru-baru ini.
Mohamad Farhan berkata, sempena bulan kemerdekaan, selepas kanak-kanak membuat lawatan ke kebun jambu dan menaiki ‘Kete Tarik’ pihaknya menganjurkan program kibar Jalur Gemilang bersama mereka.
Katanya, slot tersebut disertai kanak-kanak, guru pengiring dan ibu bapa yang bersama-sama menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, Mohd Nazid Jasiman menyambut baik usaha yang dibuat oleh MJ Agro Tour memperkenalkan pakej lawatan ke kebun jambu untuk kanak-kanak sekolah.
Katanya, program lawatan ke Kebun Jambu Atuk Janis telah dimasukkan ke dalam peta pelancongan daerah Tangkak dalam usaha menambah tempat menarik untuk dikunjungi pelancong tempatan dan luar.
“Program ini amat menarik di mana kanak-kanak teruja untuk memetik sendiri buah jambu segar di pokok dan kemudian dibawa menaiki ‘Kete Tarik’ dan tram mengelilingi ladang dan kawasan sekitar.
“Kanak-kanak juga seronok apabila dapat sama-sama menyambut bulan kemerdekaan dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya yang menemani anaknya daripada Tabika Kemas Bandar Tangkak dalam lawatan itu.
Pemilik kebun, Mohd Janis Abu Bakar, 68, berkata kehadiran kanak-kanak sekolah ke kebun jambunya memberikan banyak pengalaman dan ilmu kepada mereka berkaitan penanaman pokok jambu, penjagaan dan penuaian.
Katanya, selain diberi penerangan dan dibawa memetik jambu Lohan mereka turut ditunjukkan proses pembuatan jus jambu serta memperkenalkan beberapa produk berasaskan nanas MD2 yang turut ditanam di kebunnya. – UTUSAN