Malaysia Oversight

KKM lancar Healthy Living Mall, dorong gaya hidup aktif

By Utusan in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
KKM lancar Healthy Living Mall, dorong gaya hidup aktif


SHAH ALAM: Sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah memperkenal inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Healthy Living Mall’ iaitu Pusat Beli-Belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, inisiatif tersebut menekankan pembudayaan hidup sihat seperti kekal aktif, bebas asap rokok dan , makan sihat dan selamat serta kitar semula bersama sukarelawan MyCHAMPION.

Selain itu, KKM juga meneruskan promosi seperti jualan ‘healthy hour’ bagi barangan sihat, mesej pembudayaan hidup sihat dan susunan sayuran serta buah-buahan di pintu masuk pasaraya.

“Sambutan BMSS peringkat kebangsaan 2025 ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya peringatan berterusan tentang kepentingan budaya hidup sihat sepanjang tahun.

“Bulan September ini bukan hanya sebulan dalam setahun kita beri perhatian, tetapi ia diangkat sebagai peringatan untuk diteruskan dalam bulan-bulan yang lain,” katanya selepas merasmikan sambutan BMSS peringkat kebangsaan 2025 di AEON Mall AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebanyak 28 AEON Mall di seluruh negara juga telah terlibat dalam Cabaran Mall Walking bagi menggalakkan pengunjung AEON Mall aktif dalam mencapai 10,000 Langkah dan sekaligus mencipta rekod The Malaysia Book of Records, Most Steps Accumulated In a Shopping Centre Walking Campaign.

Ia memberi peluang kepada rakyat untuk kekal aktif sambil membeli-belah bersama keluarga. Katanya lagi, tahap kesedaran kesihatan rakyat Malaysia merupakan cabaran besar dihadapi negara ini kerana masih rendah.

jelas Dzulkefly lagi, sekitar satu pertiga rakyat Malaysia berada pada tahap rendah dalam celik kesihatan manakala hanya kira-kira 25 peratus sahaja yang boleh dianggap cemerlang.

“Berdasarkan Malaysia Healthy Lifestyle Index, skor rakyat Malaysia menunjukkan, 39 peratus berada pada tahap rendah, 29 peratus sederhana dan hanya 32 peratus pada tahap tinggi. Angka ini sangat membimbangkan kerana ia menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Katanya, BMSS perlu menjadi salah satu usaha bersama membabitkan semua pihak dalam mencapai tahap kesihatan yang baik bermula dengan menjadi platform menyatukan seluruh masyarakat.

Katanya, ia bukan sahaja kementerian atau semata-mata, tetapi sebagai usaha bersama seluruh rakyat membudayakan gaya hidup sihat termasuk sektor komersial.

“Ia merangkumi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, mengelakkan cara hidup sedentari serta memanfaatkan ruang seperti pasaraya untuk mengeratkan hubungan keluarga sambil kekal sihat,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya aktiviti untuk mencegah tingkahlaku sedentari seperti X-Break iaitu senaman ringkas dan regangan diamalkan di mana sahaja, termasuk di pejabat, sekolah dan rumah.

“BMSS adalah peringatan dan seruan untuk kita semua, agar kesedaran kesihatan diterjemahkan kepada budaya hidup yang kekal sihat demi masa depan negara,” katanya-UTUSAN





Source link