Malaysia Oversight

Liga Super: NSFC, Imigresen sama kuat

By Utusan in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
Liga Super: NSFC, Imigresen sama kuat


BATU KAWAN : Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk membawa pulang tiga mata penuh ketika menentang Imigresen FC (IFC) tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Batu Kawan di sini, petang ini.

Bermula baik, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan dalam usaha untuk memburu gol sulung.

Bagaimanapun, tuan rumah dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan berbahaya menerusi gandingan dua penyerang berbisa mereka iaitu Eduardo Sosa Vegas dan Wilmar Jordan Gil.

Gol yang dicari IFC akhirnya menjelma pada minit ke-26 apabila Jordan Gil yang tidak dikawal ketika itu berjaya melepaskan satu rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol pelawat, Muhammad Azri Abdul Ghani.

Lima minit berselang, anak-anak buah Yusri Che Lah berpeluang untuk menggandakan jaringan. Namun, percubaan pemain tengah mereka, Elvis Kamsoba sempat dikuis keluar oleh pemain pertahanan NSFC, Nsue Etugu.

Ketika aksi babak pertama dilihat seakan memihak kepada Mighty Tigers, skuad Hobin Jang Hobin secara tiba-tiba mengatur serangan dan berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sentuhan Jovan Motika sebelum wisel separuh masa pertama ditiup oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.

Masuk babak kedua, NSFC mula menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu tuan rumah.

Bagaimanapun, kekentalan banteng pertahanan IFC yang dikepalai kapten, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali menggagalkan hasrat pelawat untuk terus membolosi gawang mereka.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan NSFC melonjak ke tangga kelima liga dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan manakala IFC pula kekal di tangga ke-11 dengan dua mata juga daripada empat perlawanan.-UTUSAN

 





Source link