TELUK INTAN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah di Manjung selepas mengejar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz sejauh lebih 60 kilometer, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah terserempak kenderaan dipandu suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pahang, Tapah.
Difahamkan, suspek enggan memberhentikan kenderaan dan memecut laju melalui Plaza Tol Tapah menghala ke Kuala Lumpur untuk melarikan diri.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas polis terpaksa melepaskan tembakan pada tayar kenderaan dipandunya.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian bermula di daerah Manjung sebelum SUV dipandu suspek bertembung dengan kenderaan pasukan polis.
Katanya, kenderaan suspek dikejar sehingga ke Hentian Sebelah Behrang arah selatan di mana pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sekali gus berjaya memberkas suspek.
“Polis daerah Manjung telah memaklumkan mengenai kenderaan tersebut kepada IPD berhampiran untuk bantuan sebelum pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) IPD Tapah bertembung dengan kenderaan suspek.
“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar SUV berkenaan untuk memperlahankan pergerakan kenderaan suspek selain tidak tahu apa motif dia melarikan diri. Apabila pemeriksaan dibuat, barulah kita menjumpai pelbagai peralatan untuk pecah rumah.
“Selain itu, pemeriksaan turut menjumpai jaket tertera perkataan ‘polis’ dalam kenderaan dipandu lelaki berusia 35 tahun itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Terpaling Pahlawan Menara Condong Unity Challenge 2025 di Padang Speedy, di sini hari ini.
Noor Hisam memberitahu, SUV dipandu suspek merupakan satu daripada tiga kenderaan yang dikejar polis dari Manjung namun kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Alza itu berjaya meloloskan diri.
“Siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan kes berkenaan dirujuk kembali ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan kenderaan dinaiki anggota polis mengejar dan menahan kenderaan dinaiki penjenayah di Hentian Sebelah Behrang arah selatan dekat Tanjung Malim.
Berdasarkan rakaman video tersebut, SUV dipandu suspek dilihat dipandu melawan arus sebelum suspek memasuki semula laluan utama lebuh raya namun berjaya dihalang kereta dinaiki pasukan polis. – UTUSAN