KUALA NERUS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila mempertahankan gelaran ‘Raja’ MASUM 2025 buat kali kelapan berturut-turut sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai kuasa besar sukan universiti negara.
Kejayaan itu hadir menerusi kutipan 66 pingat keseluruhan dalam semua acara yang disertai.
Kejohanan MASUM 2025 berlangsung dari 15 hingga 21 September ini di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menjadi pentas kegemilangan UiTM dengan kutipan 30 pingat emas, 19 perak dan 17 gangsa.
Membariskan atlet dalam 10 acara sukan utama iaitu taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang.
UiTM membuktikan keampuhan barisan atletnya yang bukan sahaja kental berjuang di gelanggang malah konsisten mengekalkan tradisi kejuaraan sejak lapan edisi berturut-turut.
Sorakan kemenangan bergema di Dewan Gemilang UniSZA pada majlis penutup, menyaksikan detik penuh bersejarah apabila nama UiTM sekali lagi diumumkan sebagai juara keseluruhan.
Kejayaan ini menandakan bahawa semangat juang para atlet UiTM tidak pernah luntur malah terus menyala untuk mengharumkan nama universiti di pentas nasional dan antarabangsa.
Pengarah Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed menyifatkan kejayaan ini sebagai lambang keutuhan semangat dan dedikasi seluruh kontinjen.
“Lapan tahun berturut-turut bukan pencapaian biasa, ia adalah bukti bahawa UiTM bukan sahaja konsisten tetapi juga memiliki DNA juara.
“Ini adalah hasil pengorbanan atlet, bimbingan jurulatih dan sokongan padu universiti. UiTM akan terus melahirkan bintang sukan yang mampu bersinar di arena dunia,” katanya.-UTUSAN