Malaysia Oversight

2,189 koperasi berdaftar bawah SKM di Selangor catat 654,000 ahli

By TheSun in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
2,189 koperasi berdaftar bawah SKM di Selangor catat 654,000 ahli


SHAH ALAM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 2,189 koperasi berdaftar di dengan jumlah keahlian melebihi 654,000 orang setakat 30 Disember 2024.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu, 121 koperasi ialah milik masyarakat India yang berdaftar, dengan keahlian sebanyak 52,882 orang.

Gerakan koperasi komuniti India ini juga telah berjaya membawa pertumbuhan aset hingga 210 juta ringgit manakala jumlah share dan yuran terkumpul adalah sebanyak 134 juta ringgit.

Prestasi perolehan yang dicatatkan pula berjumlah 12 juta ringgit dengan syabas dan tahniah diucapkan kepada semua ahli dan pengurusan koperasi komuniti India atas kejayaan ini.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut pada Program Pembudayaan Koperasi dan Keusahawanan Negeri 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Lebih 350 peserta terdiri daripada wakil koperasi, usahawan, agensi dan pemain industri berhimpun pada program perkongsian maklumat berkaitan pembiayaan, latihan dan pembangunan koperasi serta usahawan.

Ramanan berkata jumlah berkenaan boleh dipertingkatkan dengan usaha sama agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama-sama koperasi dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dalam kalangan komuniti India.

Beliau menaruh harapan yang amat tinggi agar koperasi dan usahawan PMKS termasuklah daripada kalangan komuniti India dapat terus berusaha memperkukuh perniagaan dan aktiviti ekonomi yang sedia ada.

Kita tidak perlu terikat dengan modal perniagaan cara lama dan konvensional sebaliknya perlu berfikir di luar kotak dengan mencipta pasaran sendiri menjadi peneraju dalam ruang yang belum diterokai.

Dalam masa sama, Ramanan berkata SKM disarankan untuk mempercepat penggunaan aplikasi digital kepada mana-mana koperasi bagi mempromosikan produk mereka dengan kos lebih rendah dan capaian lebih luas.

Penggunaan kaedah pendigitalan mampu menjadi alternatif kepada koperasi berbanding dengan kaedah konvensional yang menelan belanja tinggi.

Beliau turut menyampaikan bantuan sebanyak 2.4 juta ringgit melibatkan geran pembangunan dalam memperkasakan koperasi komuniti India.

Daripada jumlah itu, 117,500 ringgit merupakan bantuan geran koperasi komuniti India melalui inisiatif Bakti MADANI, 2 juta ringgit untuk pembiayaan Tabung Modal Pusingan manakala 356,224 ringgit melibatkan Inisiatif I-BAP di bawah SME Corp Malaysia kepada enam syarikat milikan usahawan India. – Bernama



Source link