Malaysia Oversight

Perak catat kutipan zakat tertinggi RM253 juta

By Utusan in April 30, 2025 – Reading time 2 minute
Perak catat kutipan zakat tertinggi RM253 juta


IPOH: Perak mencatatkan kutipan keseluruhan zakat berjumlah RM253 juta bagi tahun 2024, meningkat berbanding RM237 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Syamsul Hazeman Md. Salleh percaya peningkatan itu didorong oleh kesedaran serta kemampuan ekonomi dalam kalangan pembayar zakat.

“Memang berlaku peningkatan yang signifikan berbanding tahun 2023. Bila angka kutipan zakat meningkat, maka kumpulan asnaf yang akan mendapat manfaat akan menjadi lebih besar dari segi nilai yang kita boleh agihkan.

“Kita melihat bahawa saban tahun memang ada berlaku peningkatan dari segi kutipan zakat, walaupun sebenarnya kita katakan nilai zakat masih kekal sama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar majlis Hi-Tea bersama pembayar zakat korporat, penyerahan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta bantuan per kapita rumah perlindungan anak yatim negeri Perak di sini semalam.

Menurut MAIPK, pada tahun 2024 sebanyak 43 syarikat dan individu melaksanakan agihan zakat melalui platform wakalah di negeri Perak dengan jumlah keseluruhan RM24.2 juta.

Jelas Syamsul Hazeman, daripada jumlah tersebut agihan kepada kategori asnaf fakir miskin sebanyak RM2.31 juta, fisabilillah RM2.18 juta, ghorimin RM0.73 juta, mualaf RM0.5 juta dan institusi pendidikan awam dan swasta menerima wakalah tertinggi iaitu RM18.55 juta.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Skim Bantuan Kebajikan Siswa kepada IPT yang mula dilaksanakan pada tahun 2024.

Kata Syamsul Hazeman, bagi tahun ini MAIPk menambah senarai penerima dana bantuan tersebut kepada 10 institusi di negeri Perak dengan jumlah RM540,000.

“Objektif skim bantuan ini bertujuan membantu mahasiswa dalam kalangan asnaf fakir dan miskin meringankan beban sara diri kehidupan mereka di kampus.

“Jika di luar kita bercakap tentang miskin tegar dan kumpulan berpendapatan rendah. Tetapi sebenarnya disedari bahawa wujud juga kumpulan miskin kampus (mahasiswa tidak berkemampuan),” katanya. – UTUSAN





Source link