Malaysia Oversight

Thailand gagalkan cubaan seludup 450,000 pil yaba ke Malaysia

By MkiniBM in September 20, 2025 – Reading time 1 minute
Thailand gagalkan cubaan seludup 450,000 pil yaba ke Malaysia


Pihak berkuasa Thailand berjaya mematahkan cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai 13.5 juta baht (RM1.8 juta) ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier, semalam.

Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan mengenai penghantaran dadah melalui sebuah syarikat kurier ke bandar sempadan itu.

Beliau berkata pihaknya melakukan risikan sejak awal pagi untuk mengesan individu yang dijangka mengambil bungkusan berisi dadah itu.

“Bagaimanapun, tiada sesiapa hadir dan semua dadah telah dirampas serta dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Supeeyan berkata dadah itu dipercayai akan diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram Sungai Golok dan setiap pil dijual pada harga pasaran kira-kira 30 baht sebiji.

Rampasan dilakukan kira-kira pukul 2 petang (3 petang waktu Malaysia) di bawah arahan Gabenor Wilayah Narathiwat Lt Muda Trakul Thodham.

Beliau berkata pihaknya komited memperketat kawalan bagi menghalang kemasukan dadah ke Malaysia, yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan.

– Bernama



Source link