ULASAN | Satira dan propaganda sering dianggap sebagai dua wajah yang bertentangan dalam dunia penulisan. Satira adalah seni menyingkap kesedaran melalui sindiran dan humor manakala propaganda bertujuan membina citra, menyerang musuh dan mengelirukan khalayak.
Namun kedua-duanya sering bertemu dalam satu dimensi yang sama iaitu kesedaran politik. George Orwell di Eropah dan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) di Tanah Melayu merupakan dua tokoh pengarang yang menggunakan satira sebagai medium untuk mengkritik propaganda dominan pada zaman masing-masing.
Walaupun datang daripada konteks sejarah, budaya dan geografi yang berbeza, kedua-duanya berkongsi aspirasi untuk membangunkan kesedaran masyarakat tentang bahaya penindasan, manipulasi dan kealpaan rakyat.
Dalam artikel ini, penulis akan membandingkan aspek satira propaganda dalam karya Orwell khususnya Animal Farm (1945) dan Nineteen Eighty-Four (1949) dengan karya Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941).
Perbincangan akan menelusuri latar sejarah, strategi satira serta sasaran propaganda yang disindir oleh kedua-dua pengarang. Di samping itu, artikel ini juga menghubungkan analisis tersebut dengan teori propaganda seperti yang dibincangkan oleh Jacques Ellul (1965).
George Orwell (Eric Arthur Blair) menulis karyanya seperti Animal Farm dan Nineteen Eighty-Four dalam konteks Eropah melalui pasca-Perang Dunia Kedua di mana ia mengkritik totalitarianisme hasil daripada Revolusi Rusia yang ditransformasikan menjadi tirani Stalin.
Pengalaman Orwell termasuk penglibatannya dalam Perang Saudara Sepanyol dan pengamatannya terhadap propaganda Nazi dan Soviet, membentuk pandangannya bahwa propaganda dapat menghancurkan kebenaran, rasional, bahasa dan akhirnya kebebasan manusia serta menimbulkan ketakutan terhadap rejim autoritarian.
Pak Sako pula adalah seorang nasionalis, wartawan dan pengkritik kolonialisme yang menulis pada masa penjajahan British di Tanah Melayu khususnya sekitar 1930-an dan 1940-an.
Karyanya seperti Putera Gunung Tahan mengkritik kerjasama penguasa Melayu dengan British yang menyebabkan bangsa Melayu terjajah dan terperuk serta menyerang kelemahan dalaman seperti feudalisme dan ketakutan terhadap perubahan.
Naskhah Anak Mat Lela Gila juga merupakan karya beliau yang menyedarkan sikap orang Melayu dalam bermasyarakat. Novel yang mengisahkan pengalaman Si Bulat menempuh hidup dan menumpang kasih semenjak bayi daripada Mat Lela yang dituduh sebagai orang gila. Persoalannya, bagaimana orang gila boleh menjaga bayi sebaiknya?
Satira Pak Sako bukan hanya menentang propaganda kolonial yang menggambarkan British sebagai pembawa kemajuan tetapi juga mengkritik kelemahan dalaman bangsa Melayu, feudalisme, malas berfikir dan takut berubah.

Humor sinis
Dalam Animal Farm, Orwell menggunakan binatang sebagai alegori manusia. Beliau menggunakan karyanya itu sebagai alegori yang mengkritik Stalinisme dan revolusi Soviet manakala Nineteen Eighty-Four adalah satira yang lebih gelap mengenai pengawasan negara totaliter dan pengawalan bahasa serta realiti.
Animal Farm menunjukkan bagaimana propaganda boleh mengubah slogan dari “Four legs good, two legs bad” menjadi “Four legs good, two legs better” untuk memanipulasi kebenaran.
Watak-watak menggunakan slogan yang berubah untuk mengelirukan dan mengawal binatang lain mencerminkan sifat propaganda yang bersifat manipulatif dan fleksibel dalam masyarakat politik.
Sementara itu, Nineteen Eighty-Four meneroka bagaimana konsep seperti ‘Big Brother’ (menanam rasa takut dan kepatuhan), ‘Newspeak’ (mengawal bahasa untuk mengehadkan pemikiran) dan ‘Doublethink’ (memaksa rakyat menerima percanggahan sebagai kebenaran) dan memadam memori serta logik akal. Ia merupakan distopia negara (pengawalan yang menindas) apabila pemikiran manusia tidak lagi bebas, kebenaran dikawal negara dan logik akal hancur di bawah kekuasaan propaganda totalitarian.
Pendekatan Pak Sako berbeza dengan George Orwell apabila beliau menggunakan humor sinis dan nakal untuk menyindir penjajah British dan pembesar Melayu dalam Putera Gunung Tahan. Dalam karya itu, tokoh nasionalis tersebut menampilkan watak penjajah yang licik dan pembesar yang mudah tunduk pada kuasa Barat.
Dalam Anak Mat Lela Gila, sindirannya lebih tajam terhadap kelemahan bangsa sendiri. Pak Sako menyindir tentang sikap orang Melayu yang gemar menggunakan agama sebagai alasan untuk menutup kecurangan diri. Isu ini masih lagi relevan sehingga hari ini.

Orwell melihat terdapat propaganda terhadap rejim totalitarian yang diperlukan untuk mengekalkan kuasa. Ia bersifat sistematik, menggunakan media, bahasa dan sejarah. Dalam Animal Farm, propaganda dilaksanakan oleh babi bernama Squealer yang memutarbelit fakta untuk meyakinkan haiwan lain. Dalam Nineteen Eighty-Four pula propaganda menjadi lebih mutlak apabila bahasa itu sendiri dimanipulasi sehingga rakyat tidak boleh lagi membayangkan kebebasan.
Bagi Pak Sako pula propaganda digunakan sebagai topeng kolonialisme. British menggunakan naratif “kemajuan”, “tamadun” dan “modernisasi” untuk mengaburi mata pembesar Melayu. Namun Pak Sako tidak berhenti pada kritikan terhadap penjajah malah beliau juga menekankan kelemahan bangsa sendiri yang terlalu mudah terpedaya. Di sinilah keunikan Pak Sako iaitu beliau tidak hanya menentang kuasa luar tetapi juga mengkritik dan menyedarkan mentaliti bangsa sendiri.
Lawan propaganda penjajah, totalitarianisme
Matlamat Orwell jelas bersifat sejagat iaitu memberi amaran kepada dunia tentang bahaya propaganda politik yang keterlaluan boleh menghancurkan kebebasan manusia jika dibiarkan sahaja.
Karyanya berfungsi sebagai lampu amaran terhadap masa depan yang gelap jika manusia membiarkan kuasa totalitarian menguasai minda dan bahasa.
Sebaliknya Pak Sako menulis dengan matlamat yang lebih lokal tetapi tidak kurang pentingnya iaitu menyeru kebangkitan nasionalisme Melayu. Dengan satira yang menghiburkan, beliau menanam semangat melawan penjajah dan membangkitkan kesedaran bangsa tentang pentingnya maruah serta kemandirian.
Karyanya menjadi propaganda balas terhadap hegemoni kolonial tetapi dibungkus dengan jenaka yang dekat dengan jiwa rakyat.
Walaupun George Orwell dan Pak Sako sama-sama menggunakan satira sebagai alat membalas propaganda, pendekatan mereka berbeza. Orwell menulis dengan nada serius, menumpukan kepada ancaman totalitarianisme yang universal, manakala Pak Sako menulis dengan nada jenaka dengan menumpukan kepada penjajahan British dan kelemahan bangsa Melayu sendiri.
Orwell membongkar manipulasi bahasa dan kawalan pemikiran sebagai senjata propaganda manakala Pak Sako menyingkap mitos “kemajuan” kolonial serta kelemahan elit feudal tempatan.
Perbandingan ini menunjukkan bahawa satira boleh mengambil pelbagai bentuk sama ada yang menakutkan dan ada yang melucukan. Namun tujuannya tetap sama iatu membangunkan kesedaran masyarakat agar tidak mudah diperdaya dengan propaganda yang menindas. Orwell memberi amaran sejagat kepada dunia manakala Pak Sako meniup semangat kebangsaan dalam jiwa Melayu. Kedua-duanya membuktikan bahawa satira ialah senjata ampuh melawan propaganda jahat yang memanipulasi fikiran rakyat.

Penulisan Satira dan Propaganda Jacques Ellul (1965)
Dalam pada itu, ahli falsafah Perancis Jacques Ellul dalam karyanya Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes (1965) menyatakan bahawa propaganda bukan sekadar alat komunikasi tetapi satu proses sosial dan psikologi yang berterusan. Ia membentuk nilai, sikap dan tingkah laku masyarakat secara sistematik, selalunya tanpa disedari.
Dengan kerangka ini, khalayak masyarakat dapat membaca karya George Orwell (Animal Farm, Nineteen Eighty-Four) dan Pak Sako (Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila) bukan hanya sebagai teks sastera tetapi juga sebagai refleksi tentang bagaimana propaganda berfungsi dalam masyarakat moden dan jajahan.
Ellul menegaskan propaganda menyelinap ke dalam bawah sedar manusia dan membentuk tingkah laku tanpa disedari. Dalam Animal Farm, watak Squealer, jurucakap Napoleon berperanan menyebarkan naratif baharu setiap kali peraturan dilanggar. Misalnya, peraturan asal “All animals are equal” akhirnya diubah menjadi “All animals are equal, but some animals are more equal than others.” Perubahan ini diterima kerana propaganda telah membentuk ekosistem pemikiran haiwan supaya mereka tidak lagi menyoal sebaliknya hanya menurut.
Ellul menegaskan bahawa propaganda menyelinap masuk secara halus untuk membentuk cara berfikir dan bertindak. Orwell menunjukkan hal ini dalam 1984 melalui konsep ‘Doublethink’ di mana rakyat dipaksa mempercayai dua kenyataan yang bercanggah pada masa sama. Keadaan ini berlaku kerana minda mereka telah dibingkai oleh propaganda parti.
Pak Sako pula menyingkap bagaimana pembesar Melayu tanpa sedar menerima nilai “kemajuan barat” yang dipromosikan penjajah. Dalam Putera Gunung Tahan, beliau menyindir kepatuhan membuta tuli pembesar yang menggadaikan maruah bangsa. Satira beliau menunjukkan bahawa propaganda kolonial berjaya mengubah nilai elit Melayu menjadikan mereka rakan sekutu kepada hegemoni Barat.
Melalui kerangka Jacques Ellul, jelas menunjukkan bahawa Orwell dan Pak Sako melihat propaganda bukan sekadar sebagai teknik komunikasi tetapi sebagai sistem sosial yang menyelinap ke dalam budaya, teknologi, pendidikan dan media massa.
Orwell memberi amaran tentang dunia totalitarian yang menindas kebebasan manusia, manakala Pak Sako menyingkap bagaimana propaganda kolonial dan feudal mengikat bangsa Melayu.
Kedua-duanya membuktikan kebenaran pandangan Ellul iaitu propaganda bukan hanya alat tetapi proses sosial yang membentuk ekosistem pemikiran, norma kolektif dan akhirnya menentukan siapa yang berkuasa serta siapa yang tunduk.
Baik Orwell mahupun Pak Sako, kedua-duanya bukan sekadar membongkar propaganda tetapi juga membina propaganda balas iaitu propaganda yang mengajak pembaca untuk sedar, bangkit dan menolak hegemoni. Orwell mengingatkan dunia bahawa demokrasi dan kebebasan akal harus dipertahankan. Pak Sako pula mengajak bangsa Melayu perlu keluar daripada bayangan kolonialisme dan membina harga diri.
Perbandingan antara George Orwell dan Pak Sako memperlihatkan bahawa satira propaganda adalah medium universal yang merentas sempadan. Orwell dengan alegori binatang dan dunia distopia, mengkritik totalitarianisme moden. Pak Sako, dengan humor dan sindiran budaya Melayu, mengkritik penjajahan dan kelemahan dalaman bangsa sendiri. Kedua-duanya menggunakan satira sebagai alat kesedaran, menjadikan karya mereka bukan sekadar kesusasteraan tetapi juga senjata ideologi.
Dengan membaca Orwell, kita dapat memahami bahaya propaganda jahat yang meragut kebebasan universal manakala menelaah karya Pak Sako, masyarakat diberi kesedaran bahawa propaganda kolonial dan kelemahan bangsa sendiri juga boleh menjadi belenggu. Meski dalam nada berbeza, kedua-dua pengarang tersohor ini menyeru manusia agar berfikir, menolak manipulasi dan mempertahankan kebebasan serta jiwa merdeka.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah naib ketua Umno bahagian Sungai Besar dan bekas ahli parlimen.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.