Perselisihan PAS dengan Bersatu baru-baru ini mengenai dana bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.
Rafizi berkata partinya sendiri PKR – serta parti komponen Pakatan Harapan, DAP – mempunyai pengalaman yang sama dengan PAS pada zaman Pakatan Rakyat.
“Semua yang pernah berkerjasama dengan PAS telah melalui pengalaman ini. Sekarang zaman Bersatu,” katanya dalam podcast Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Semalam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan komitmen partinya terhadap Perikatan Nasional (PN) susulan perselisihan dengan Bersatu berhubung isu pembiayaan pilihan raya.
Semasa Muktamar PAS ke-71 di Kedah baru-baru ini, pengarah pilihan rayanya, Sanusi Nor, menyindir Bersatu kerana dikatakan bergantung kepada kemudahan dan jentera PAS.
Susulan itu, Marzuki Mohamad, yang berkhidmat sebagai setiausaha sulit utama kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri, berkata Bersatu telah menampung perbelanjaan pilihan raya PAS untuk pilihan raya umum ke-15.
Mengulas lanjut, Rafizi menyatakan keyakinannya bahawa Marzuki berkemungkinan mengatakan hal yang sebenar.
Ini berdasarkan pembekuan dana oleh SPRM dan kemudian merampas beberapa akaun bank berkaitan Bersatu pada 2023.
“Saya tak terkejutlah kalau Bersatu kata mereka bagi wang kepada PAS tapi sekarang ini masa untuk PAS rasa dia tak lagi perlukan Bersatu,” katanya.
Rafizi menyindir bahawa pemimpin Bersatu tidak perlu bersusah payah naik turun mahkamah berhubung isu Jana Wibawa sekiranya tidak membiayai PAS pada pilihan raya umum lalu.
Program Jana Wibawa diperkenalkan semasa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Kes itu dikaitkan dengan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Muhyiddin, manakala Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berdepan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Bulan lalu, Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dibebaskan dan dilepaskan daripada semua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek itu, berikutan pembayaran kompaun RM4.1 juta.
Sementara itu, Rafizi menambah, PAS tidak mempunyai sejarah untuk kekal lama dalam mana-mana gabungan politik.
“Macam mana pun dia akan sampai ke satu peringkat yang PAS rasa kekuatan dia, kehebatan dia mengatasi semuanya, jadi orang lain tak penting,” katanya.