Tokoh kewartawanan negara Johan Jaafar mengecam denda RM100,000 yang dikenakan terhadap penerbit Sin Chew Daily dan Sinar Harian.
Dia menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu sebagai “belum pernah berlaku dan berbahaya” serta boleh dilihat sebagai usaha menjejaskan prinsip kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia.
“Malangnya, ia juga memberi gambaran bahawa kerajaan ini paling tidak bertolak ansur terhadap kritikan dan pandangan yang berbeza. Ia bercanggah dengan pendirian yang diutarakan oleh perdana menteri sendiri.
“Ralat boleh berlaku dan kesilapan tulen memang tidak dapat dielakkan dalam menguruskan organisasi media.

“Teknologi digital dan penggunaan AI boleh menjadi pedang bermata dua. Kita semua sedang belajar memahami kelebihan dan bahaya daripada kemajuan sebegini.
“MCMC sepatutnya memahami isu ini lebih daripada mana-mana agensi kerajaan lain,” katanya.
Terdahulu, MCMC mengumumkan bahawa ia mengenakan denda RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd, selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.
Kedua-dua penerbit itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan didakwa mengikut Seksyen 243 akta sama.
Bagi Sin Chew, kesalahan itu didakwa kerana menerbitkan ilustrasi yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap.
Sementara itu, Karangkraf melalui akhbar hariannya, Sinar Harian, dilaporkan menerbitkan infografik yang tersilap menyatakan bahawa Ketua Polis Negara Khalid Ismail adalah anggota PKR.
Majlis Media Malaysia turut menyuarakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa hukuman tersebut adalah “berlebihan”.