JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memelihara kelestarian alam sekitar serta menjaga kebersihan pulau-pulau di perairan Mersing.
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah Mersing yang terkenal sebagai daerah pelancongan lestari mempunyai keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologi marin yang perlu dipelihara sebaiknya untuk generasi kini dan akan datang.
“(Pada masa sama), setiap pengunjung juga perlu mengamalkan sikap prihatin terhadap alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi memastikan keindahan alam semulajadi dan ekosistem marin terus terpelihara.
“Keindahan pulau, batu karang dan biodiversiti marin di perairan Mersing adalah khazanah yang wajar dijaga bersama. Usaha ini penting bukan sahaja untuk manfaat generasi kini, malah juga untuk warisan generasi akan datang,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman, Pengarah Tanah dan Galian negeri Mohammed Shakib Ali, Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah serta Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Norman Noh di Istana Pasir Pelangi di sini.
Semalam, Jamil Hasni menerusi notis pemberitahuan yang dikongsikan dalam laman Facebook Pejabat Daerah Mersing memaklumkan semua aktiviti selam skuba, snorkeling dan lawatan ke enam pulau perairan sekitar Mersing dihentikan serta-merta bagi memberikan laluan kepada kerja pemuliharaan biodiversiti marin serta alam sekitar.
Beliau berkata penutupan itu membabitkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah – Bernama