Bersatu menolak tanggapan bahawa calon perdana menteri mestilah mereka yang berusia 70 tahun ke bawah seperti dicadangkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu minggu lalu.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tidak ada masalah untuk pemimpin yang berusia 70 tahun ke atas menjadi perdana menteri asalkan
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sendiri pun saya rasa sekejap-kejap nampak bengkak mata, bengkak tangan dan sebagainya.
“So, saya rasa itu (usia 70 tahun) bukan faktor utamanya kalau kata individu itu mampu memimpin, (itu) satu. “Masih mempunyai kebijaksanaan untuk memimpin dan yang paling penting, dia adalah faktor menyatu (rakyat),” katanya dalam audio siar KiniTV.

Tun Faisal berkata faktor penyatu itu ada pada presidennya Muhyiddin Yassin, yang pernah menjadi perdana menteri ketika era Covid–19 beberapa tahun lalu.
“Sebab itu dia boleh bawa 12 parti-parti yang bukan kerajaan untuk duduk bersama,” kata Tun Faisal.
Sebelum ini pada Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung di Alor Setar Kedah, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menolak untuk dicalonkan sebagai perdana menteri.
Hadi berkata dia tidak layak untuk memegang jawatan itu selain mencadangkan supaya jawatan perdana menteri dipegang oleh pemimpin bawah usia 70 tahun.
Anggota parlimen Marang bagaimanapun berkata, usia 70 tahun itu merujuk kepada dirinya sendiri tidak membabitkan pihak lain.
Pendirian Hadi menyusul selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 daripada Bersatu.

Ditanya sama ada kenyataan Hadi merujuk kepada Muhyiddin, Tun Faisal berkata dia bagaimanapun menolak tanggapan itu.
“Saya tak rasa macam itu. Sebab Anwar sekarang 75 tahun. Lebih 70, lebih kurang betul. (Ahmad) Zahid (Hamidi) 72 tahun,” tambahnya.
Muhyiddin sekarang berumur 78 tahun manakala Hadi pula setahun lebih muda.
‘Pemilihan Muhyiddin selaras prinsip Islam‘
Sementara itu, Tun Faisal berkata, pemilihan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri adalah selaras dengan prinsip Islam.
Tun Faisal berkata, usul yang dibawanya bagi mencalonkan Muhyiddin pada PAT baru-baru ini juga dibuat atas dasa kepimpinan yang teruji dalam cabaran yang besar.
“Saya cakap ini berdasarkan prinsip Islam. Sebab kita ni, bila umat Islam ni, kita ada perbalahan bersama kita. Ayat Quran ajar kita supaya kita kembali kepada al-Quran, kepada Allah dan Rasul-Nya.
“Sebab itu, bila kita membuat cadangan, cadangan kita, saya sebutkan bahawa kriteria pemimpin, kepimpinan menurut Islam,” katanya lagi.
Tun Faisal berkata kriteria kepimpinan menurut Islam dalam konteks Malaysia antaranya beragama Islam, adil dan amanah, berilmu dan bijaksana, kuat dan berkemampuan serta beramanah dan berintegriti.