Malaysia Oversight

Kg Sg Baru: Penduduk tak faham risiko

By MkiniBM in September 19, 2025 – Reading time 2 minute
Kg Sg Baru: Penduduk tak faham risiko


Penduduk tidak memahami sepenuhnya tentang risiko, ketiadaan tadbir urus serta perancangan strategik yang teliti, antara punca berlakunya polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata isu perancangan bandar dan guna tanah bukan perkara baharu namun kelemahan pendekatan semasa menyebabkan rakyat akhirnya menjadi mangsa.

“Dalam kes Kampung Sungai Baru, saya tidak anggap ia isu besar, tetapi jelas perancangannya tidak begitu teliti. Penduduk sendiri mungkin tidak faham risiko apabila bersetuju tanah mereka dibangunkan.

“Apabila tiada kefahaman, ketiadaan tadbir urus dan ketiadaan perancangan strategi, akhirnya rakyat yang menderita,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 2025 di Sepang, hari ini.

73204174a17a989d6f385acc3140b118
Robohan rumah di kampung itu

Beliau menyentuh isu Kampung Sungai Baru ketika mengulas kajian oleh Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung ‘Risiko Rasuah Dalam Menentukan Penggunaan Guna Tanah Dalam Penyediaan Rancangan Tempatan’ pada persidangan itu.

Azam berkata akta sedia ada seperti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 juga perlu dikaji semula agar selari dengan keperluan pembangunan semasa.

Beliau berkata penggunaan teknologi baharu, sistem lebih bersistematik serta integrasi kecerdasan buatan (AI) perlu diberi keutamaan supaya polemik berkaitan pembangunan tanah tidak berulang.

“Ramai penduduk hanya nampak pampasan atau tawaran wang, tetapi tidak diberi panduan mencukupi tentang kesan jangka panjang. Inilah yang berlaku apabila tiada perancangan strategik yang jelas,” katanya.

Semalam, Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.

Susulan titah berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim menyambut baik dengan menyifatkan titah baginda selari dengan pendirian MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.

dilaporkan berkata sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, beliau tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.

– Bernama



Source link